Sembilan kes COVID-19 sepanjang sidang Dewan Rakyat

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun memaklumkan hanya sembilan kes COVID-19 direkodkan sepanjang Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14 berlangsung selama 17 hari berakhir hari ini.

-Advertisement-

Bagaimanapun, katanya, semua kes COVID-19 itu berpunca daripada komuniti, selain tiada jangkitan atau kluster berlaku di Parlimen sepanjang tempoh berkenaan.

“Seperti anda sedia maklum, persidangan kali telah diadakan dengan mengambil kira cabaran penularan kes wabak COVID-19 di negara kita.

“Sehubungan itu, pelbagai langkah diambil bagi memastikan persidangan ini berjalan lancar, termasuk mewajibkan ujian Kit Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) Saliva secara berkala.

“Ia termasuk meningkatkan kualiti udara dalaman semua bangunan di Parlimen,” katanya sebelum menangguhkan persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14 berlangsung mulai 13 September lalu.

Dalam pada itu, Azhar turut berterima kasih kepada Kementerian Kesihatan, terutamanya Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan diketuai Pengarahnya, Dr Noorliza Mohd Noordin.

-Advertisement-

“Beliau dan pasukannya telah memberikan sepenuh komitmen dalam mengambil langkah untuk memastikan Parlimen Malaysia dan kita semua sentiasa dalam terkawal dan selamat daripada penularan wabak COVID-19.

“Saya turut ingin mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) yang sudi mempengerusikan sementara, beberapa kali mesyuarat Dewan Rakyat sepanjang persidangan ini.

“Kesediaan beliau amat saya hargai. Tidak lupa juga kepada semua pegawai kerajaan, warga Parlimen Malaysia, pengurusan Dewan Rakyat, wakil media, dan pihak terlibat langsung dan tidak langsung,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menasihatkan semua Ahli Parlimen supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengekang penularan COVID-19.

“Ia agar kita bersama-sama dapat mengekang penularan wabak COVID-19 yang masih belum ada kesudahan walapun telah nampak improvement (pembaikan) dalam dua, tiga minggu ini,” katanya.