Semua hospital di utara Gaza tidak beroperasi

Estimate Reading Time: < 1 minute

GAZA: Semua hospital di utara Gaza kini tidak beroperasi namun usaha sedang dijalankan untuk membolehkan mana-mana hospital di kawasan yang musnah akibat serangan Israel beroperasi semula.

-Advertisement-

Dalam satu kenyataan pada Khamis, jurucakap Kementerian Kesihatan yang berpangkalan di Gaza, Ashraf al-Qudra, berkata pasukan perubatan menghadapi kesukaran bekerja di Hospital Al-Shifa, kompleks perubatan terbesar di Gaza.

“Walaupun menghadapi kesukaran, kami akan meneruskan percubaan untuk menjalankan operasi di mana-mana hospital di Gaza,” kata al-Qudra seperti dilaporkan Agensi Anadolu.

al-Qudra berkata Hospital Nasser di bandar Khan Younis, selatan Gaza juga sesak dengan kira-kira 1,000 orang cedera malah pesakit dan orang yang cedera terbaring di lantai hospital.

Seorang pegawai kementerian di Pejabat Media Kerajaan yang berpangkalan di Gaza, Maher Shamiyya, berkata Al-Shifa tidak mempunyai bekalan elektrik dan penuh dengan orang yang berpindah.

Menurut pihak berkuasa Gaza dan organisasi kesihatan antarabangsa, bantuan dan bekalan perubatan memasuki Gaza juga hanyalah dalam kuantiti yang sangat terhad.

-Advertisement-

Ia juga berdepan kekurangan bahan api, yang dihalang masuk oleh Israel sejak 7 Oktober, sekali gus menjadi halangan utama untuk menjalankan operasi hospital.

Israel terus meneruskan melakukan serangan ketenteraannya di Gaza sejak 1 Disember lalu selepas berakhirnya jeda kemanusiaan selama seminggu dengan kumpulan Hamas.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 16,248 rakyat Palestin terbunuh manakala lebih 43,616 lagi cedera dalam serangan udara dan darat yang tidak henti-henti ke atas wilayah itu sejak 7 Oktober lalu.

Angka rasmi kematian di pihak Israel dalam serangan Hamas berjumlah 1,200 orang.

– AGENSI

– BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427