Sindiket jual sijil cuti sakit palsu sejak setahun lalu ditahan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan sindiket menjual sijil cuti sakit palsu dan menahan enam individu dalam serbuan di sekitar Kajang dan Bukit Jalil, Cheras dekat sini, pada Jumaat dan Sabtu, lalu.

-Advertisement-

Semua suspek adalah warga tempatan terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita berusia antara 26 hingga 51 tahun.

Tangkapan dijalankan hasil risikan dan siasatan dijalankan oleh pasukan daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Polis Daerah Kajang.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zahid Hassan, berkata siasatan awal mendapati sindiket ini aktif menjual sijil cuti sakit palsu sejak setahun lalu.

Katanya, sijil cuti sakit palsu itu dipercayai dijual dengan harga antara RM30 hingga RM50 sekeping dan khidmat itu ditawarkan di sekitar daerah Kajang.

-Advertisement-

“Menerusi serbuan itu juga kita merampas enam buku sijil cuti sakit, 171 sijil cuti sakit kerajaan dan 70 sijil cuti sakit swasta serta 19 resit rasmi klinik.

“Kita turut merampas lapan telefon bimbit, satu komputer riba dan lima pemacu kilat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zaid berkata, reman semua suspek dilanjutkan sehingga hari ini dan siasatan dijalankan mengikut Seksuen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu.

Orang ramai terutamanya majikan, dinasihatkan untuk membuat semakan dan sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkenaan kegiatan penjualan sijil cuti sakit ini boleh menghubungi talian Hotline IPD Kajang di talian 03-89114242.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373