MANCHESTER, England: Ketika pembabitan Manchester United dalam pertandingan Eropah berakhir memilukan awal pagi tadi selepas tewas 1-0 di tangan Bayern Munich, pengurus Erik ten Hag berkata pasukannya kini boleh menumpukan kepada usaha melonjakkan pasukan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).
Juara Eropah tiga kali itu perlu menewaskan Bayern pada aksi terakhir peringkat kumpulan Liga Juara-Juara dan berharap aksi Copenhagen menentang Galatasaray berakhir seri untuk layak ke pusingan 16 terakhir. Ia tidak berlaku dan United berakhir dengan empat mata daripada enam perlawanan.
Penamat tangga tercorot peringkat kumpulan bermakna mereka juga tidak berpeluang untuk meneruskan aksi dalam Liga Europa.
“Banyak lagi perlawanan boleh ditempuhi dan kini kami boleh fokus, tentunya terhadap Liga Perdana dan inilah tahap yang kami mahu bermain iaitu dalam Liga Juara-Juara, jadi kami perlu berusaha untuk berada dalam kelompok empat teratas dan kembali ke Liga Juara-Juara tahun depan,” kata Ten Hag kepada wartawan.
“Sudah tentu, kami ada Piala FA, masih ada banyak pertandingan yang akan kami harungi.”
Gol Kingsley Coman pada minit ke-70 membantu kemenangan Bayern ke atas United yang gagal mencipta banyak peluang dengan hanya satu percubaan tepat ke arah gol.
“Apa yang amat membimbangkan (Rasmus) Hojlund tidak mempunyai peluang. Mereka tidak mencipta apa-apa,” kata bekas pemain tengah United, Paul Scholes kepada TNT Sports. “Ia satu kempen yang benar-benar teruk.”
Hojlund adalah penjaring gol terbanyak United dalam kempen Liga Juara-Juara dengan lima gol.
Ten Hag mempertahankan satu percubaan tepat itu dan berkata: “Perlawanan sebegini bagi kedua-dua pasukan: kurang peluang.
“Kami beraksi agak baik. Kami mempunyai peluang tetapi tidak menggunakannya.”
Jadual perlawanan juga tidak mudah buat United, yang akan berdepan pendahulu liga Liverpool Ahad ini.
United menghuni tangga keenam EPL selepas 16 perlawanan, enam mata di belakang pasukan tangga keempat. Liverpool di puncak carta dengan 37 mata.
-REUTERS
-BeritaHarian