SMKA Jempol Perintis Model Pendidikan Agama TVET

Estimate Reading Time: < 1 minute

JEMPOL 26 September 2026 (The Capital Post) – Menteri Pendidikan, YB Datuk Seri Fadhlina Sidek menyempurnakan majlis pecah tanah pembinaan baharu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Jempol, yang bakal menjadi sekolah agama pertama negara mengintegrasikan pendidikan agama dengan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Menerusi kenyataan di Facebook, Fadhlina berkata model pendidikan itu akan membuka lebih banyak laluan kepada murid sekolah agama untuk menguasai kemahiran teknikal di samping memperkukuh ilmu agama, sekali gus memberi ruang kepada mereka meneroka pelbagai bidang kerjaya seperti kejuruteraan, teknologi dan keusahawanan.

Projek pembangunan sekolah berkenaan melibatkan peruntukan sebanyak RM98 juta dan dibina di atas tapak seluas 14.22 hektar. Kemudahan yang dirancang merangkumi 25 bilik darjah, makmal, bengkel, perpustakaan, dewan, surau serta asrama yang mampu menempatkan sehingga 720 murid.

Menurut beliau, pembangunan SMKA Jempol bukan sekadar penambahan prasarana pendidikan, malah merupakan usaha menyediakan pilihan pembelajaran yang lebih luas kepada murid sekolah agama agar mereka dapat meneroka bidang teknologi tanpa mengabaikan asas pendidikan dan nilai agama.

-Advertisement-

Fadhlina menegaskan pendidikan agama perlu turut mempersiapkan generasi muda untuk menghadapi perubahan zaman dengan ilmu dan nilai yang kukuh, selain membolehkan mereka mengembangkan potensi serta mencapai cita-cita masing-masing.

Beliau berharap pembinaan sekolah itu dapat menjadi permulaan kepada peluasan laluan pendidikan yang menggabungkan pengajian agama dan kemahiran TVET untuk manfaat murid serta keperluan negara. – The Capital Post