PUTRAJAYA 13 Ogos 2026 (The Capital Post) – Seramai 60 warga staf Kampus Dengkil dan Pusat Asasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) menyertai Kejohanan Tenpin Bowling Sukan Staf Asasi UiTM (SUKSAS) 2026 yang berlangsung di U Bowl, Alamanda, Putrajaya, pada 12 Ogos 2026.
Kejohanan bersempena Bulan Kemerdekaan itu dianjurkan oleh Unit Sukan Kampus Dengkil dengan kerjasama Kelab Kebajikan Pusat Asasi UiTM bagi menggalakkan penglibatan warga staf dalam aktiviti sukan serta memperkukuh hubungan sesama warga universiti.
Pertandingan tersebut mempertandingkan kategori Trio Lelaki dan Trio Wanita, dengan para peserta mempamerkan semangat kesukanan, kerjasama serta persaingan sihat sepanjang kejohanan.
Selain menggalakkan gaya hidup aktif, penganjuran SUKSAS 2026 turut menjadi platform untuk mengeratkan silaturahim dan memupuk semangat kerja berpasukan dalam kalangan warga staf UiTM.
-Advertisement-
Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan oleh Penolong Rektor Kampus Dengkil, YBrs. Profesor Madya Ir. Dr. Amirul Abd. Rashid, sebagai tanda penghargaan terhadap penyertaan dan komitmen warga staf dalam menjayakan kejohanan.
Penganjuran program turut menyokong elemen IDART UiTM dan Happiness Index melalui usaha mewujudkan suasana kerja yang lebih positif, sihat serta menggalakkan kesejahteraan warga universiti.
Secara keseluruhannya, kejohanan tersebut berlangsung dengan jayanya dan mencapai matlamat untuk memperkukuh semangat kekitaan serta hubungan dalam kalangan warga staf UiTM. – The Capital Post