Tapak pelupusan sampah Ladang Tanah Merah mampu beroperasi 20 tahun lagi

Estimate Reading Time: < 1 minute

SEREMBAN, 5 April — Tapak pelupusan sampah di Cypark Resources Berhad Ladang Tanah Merah, Port Dickson yang beroperasi sejak 2015 mampu beroperasi hingga 20 tahun lagi.

-Advertisement-

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Sembilan, Muhammad Yusof Ahmad berkata Cypark Resources Berhad merupakan antara lokasi pelupusan sampah terbesar di negeri ini selain dua tapak lain di Ulu Maasop, Kuala Pilah dan Sungai Muntoh, Jelebu.

“Sebanyak 800 tan metrik sampah domestik sehari dari Seremban, Nilai dan Port Dickson dihantar ke tapak pelupusan Cypark Resources Berhad dan pihak operator menguruskannya secara sistematik,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program KITARecycle SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) Bersama Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan (PPANS) di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat SWM Environment Mohd Norlisam Mohd Nordin dan Yang Dipertua Badan Kebajikan Isteri Wakil Rakyat (BAKRIYAH) Negeri Sembilan Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof.

Dalam pada itu, Muhammad Yusof berkata loji pemprosesan dan pemulihan sisa pepejal, Solid Waste Modular Advanced Recovery and Treatment (Smart) sisa kepada tenaga (WTE) akan beroperasi tidak lama lagi di Cypark Resources Berhad bagi melancarkan kerja pelupusan.

-Advertisement-

Sementara itu, mengenai kebersihan pantai di Port Dickson, Mohd Norlisam berkata anggota SWM Environment memulakan tugas pembersihan seawal 6 pagi dengan menggunakan jentera ‘beach comber’ bagi menangani lambakan sampah di persisiran pantai.

Beliau berkata longgokan sampah lama yang dihanyutkan dari tempat lain merupakan cabaran besar perlu ditangani memandangkan kerja pembersihan dilakukan setiap hari.

Mohd Norlisam berkata selain itu, sampah yang berada di persekitaran pantai persendirian milik hotel menjadi tanggungjawab pihak hotel kerana ia di luar bidang kuasa SWM Environment, bagaimanapun pasukannya tetap membantu membersihkan pantai itu walaupun di luar kawasan perkhidmatan.

— BERNAMA

 


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373