Tentera laut China bantu Indonesia keluarkan bangkai kapal selam

Estimate Reading Time: < 1 minute

JAKARTA: Kapal tentera laut China tiba di Bali untuk membantu menimbulkan kapal selam Indonesia yang karam bulan lalu, kata angkatan laut Indonesia, semalam.

-Advertisement-

Kapal selam itu karam bersama 53 anak kapalnya. Bantuan itu tiba selepas kapal asing lain dari Australia, Singapura dan Malaysia beredar dari kawasan itu selepas membantu pihak berkuasa Indonesia.

KRI Nanggala 402 – satu daripada lima kapal selam dalam armada Indonesia – hilang bulan lalu ketika dijadualkan untuk mengambil bahagian dalam latihan torpedo hidup.

Sebuah kenderaan penyelamat dalam laut yang dibekalkan oleh Singapura memberikan pengesahan visual bahawa kapal selam buatan Jerman itu terdampar di dasar laut sedalam lebih 800 meter, pecah kepada tiga bahagian, yang mengesahkan tidak ada harapan untuk mencari mangsa.

Dua kapal penyelamat China bersiap sedia di perairan Bali, sementara yang ketiga dijangka tiba semalam, menurut tentera laut Indonesia.

Ia menambah bahawa pegawai tentera laut China di Bali sedang membantu memeriksa data yang dikumpulkan berhubung kapal selam itu.

Ketiga-tiga kapal penyelamat dapat menyelam hingga kedalaman 4,500 meter.

-Advertisement-

Tentera laut Indonesia menyatakan bahawa duta besar Beijing ke negara itu menawarkan bantuan itu kepada Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto.

“Tawaran itu disambut baik oleh pemerintah Indonesia,” menurutnya dalam satu kenyataan semalam.

Sebuah kapal daripada pasukan SKK Migas, yang digunakan untuk operasi menggali minyak dan gas, juga akan menyertai operasi penyelamat.

Ia mempunyai kren dengan kapasiti 1,200 tan. Minggu lalu tentera laut menyatakan magnet berkuasa tinggi dan belon udara adalah antara pilihan yang dipertimbangkan untuk menimbulkan kapal selam itu ke permukaan.

Robot bawah laut juga akan digunakan dalam operasi itu, menurutnya lagi.

Pihak tentera belum memberikan sebarang penjelasan rasmi berhubung punca tenggelamnya kapal selam berusia puluhan tahun itu, yang dihantar ke Indonesia pada 1981.-BH