City mara final Liga Juara-Juara

Estimate Reading Time: < 1 minute

MANCHESTER: Pep Guardiola menjawab kritikan ke atasnya dengan membawa Manchester City ke final Liga Juara-Juara Eropah selepas menewaskan Paris Saint-Germain (PSG) 2-0, di sini, sebentar tadi.

-Advertisement-

Dua gol jaringan Riyad Mahrez pada aksi timbal balik separuh akhir di Stadium Etihad memberikan kemenangan agregat 4-1 kepada The Citizens.

City akan tampil di final Liga Juara-Juara buat julung kalinya menentang sama ada Chelsea atau Real Madrid di Istanbul, Turki pada 29 Mei nanti.

Ia adalah saat paling bermakna buat pengendali City, Guardiola yang didakwa hanya mampu menjuarai Liga Juara-Juara bersama Barcelona hasil kehebatan Lionel Messi.

Bintang Argentina itu menjadi tonggak penting dalam dua kejayaan Barca di Liga Juara-Juara ketika di bawah bimbingan Guardiola pada tahun 2009 dan 2011.

-Advertisement-

Sejak meninggalkan Barca pada tahun 2012, Guardiola gagal mara ke final Liga Juara-Juara selama tiga tahun di Bayern Munich dan pertama sepanjang empat musim bersama City.

“Kami berjuang bersama-sama dan kini di final Liga Juara-Juara. Sampai ke final adalah hasil daripada apa yang kami usahakan sepanjang empat atau lima tahun lalu.

“Manchester United menang (Liga Juara-Juara) kerana John Terry tergelincir dan juga pada minit terakhir ketika menentang Bayern Munich. Real Madrid menang pada final menentang Atletico pada minit ke-93.

“Ia adalah pertandingan yang sukar dan faktor tuah memainkan peranan,” kata Guardiola.-BH