Tiada kenaikan cukai taksiran di Selangor

Estimate Reading Time: < 1 minute

SHAH ALAM: Selangor melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) memutuskan tiada kenaikan kadar cukai taksiran di negeri ini memandangkan rakyat masih berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi masa ini.

-Advertisement-

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Ng Sze Han, berkata perkara itu diputuskan melalui MMKN pada 13 Julai lalu.

“Ahli MMKN memandang serius isu kenaikan harga barang dan inflasi makanan yang semakin tinggi.

“Sebagai kerajaan yang prihatin, sebarang keputusan untuk menguatkuasakan semakan nilaian baharu cukai taksiran oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan mengambil kira keadaan hidup dan kesejahteraan rakyat negeri Selangor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, katanya kerajaan negeri akan terus memberi fokus untuk menggerakkan kembali ekonomi Selangor melalui pelbagai program pembangunan sumber manusia dan rangsangan menarik masuk pelaburan ke Selangor agar peluang pekerjaan terus meningkat.

-Advertisement-

“Rancangan Selangor Pertama (RS-1) juga sedang dirangka, dengan fokus untuk memacu pertumbuhan ekonomi demi merealisasikan kehidupan rakyat Selangor yang lebih mampan dan lestari,” katanya.

Sze Han berkata, selain itu inisiatif kebajikan negeri seperti Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) yang diumumkan dalam Belanjawan 2022 juga sedang dilaksanakan.

“Inisiatif ini untuk membantu 30,000 keluarga B40, melibatkan peruntukan sebanyak RM108 juta,” katanya.

-BH