Tiga maut, bas ekspres dua tingkat terbabas langgar pokok

Estimate Reading Time: < 1 minute

LIPIS: Seorang anggota bomba antara tiga yang maut apabila bas ekspres dua tingkat terbabas dan melanggar pokok di Kampung Kubang Rusa, di Merapoh awal pagi tadi.

-Advertisement-

Mangsa yang maut Mohd Syukri Mat Noor, 55, seorang anggota bomba dari Balai Bomba Kuala Krai, pemandu bas, Ab Aziz Daud, 56, dan seorang warga Bangladesh, Hossain Kamal, 41.

Pemandu bas kedua, Che Bukhari Che Mat, 39, patah kaki kiri.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor, berkata kejadian jam 1.55 pagi berlaku ketika bas yang dinaiki 20 orang itu dalam perjalanan dari Kuala Krai, Kelantan menghala ke Kuala Lumpur.

“Siasatan awal mendapati, ketika sedang melalui satu selekoh, bas ekspres itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan,” katanya.

-Advertisement-

Akibat kemalangan itu Ab Aziz dan dua penumpang meninggal dunia di tempat kejadian manakala jumlah penumpang cedera akibat kemalangan itu belum diperoleh.

Sementara itu, Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani, berkata seramai 24 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kuala Lipis, BBP Gua Musang dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Merapoh terbabit dalam usaha menyelamat dan mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Gua Musang manakala tiga yang maut dihantar ke Hospital Kuala Lipis.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373