BEIJING: Peminat bola sepak di China berlumba-lumba mendapatkan tiket untuk melihat aksi Cristiano Ronaldo bersama Al-Nassr di negara mereka.
Bulan lalu, kelab Arab Saudi, Al-Nassr mengumumkan jelajah ke China untuk aksi persahabatan menentang Shanghai Shenhua dan Zhejiang FC di Shenzhen pada 24 dan 28 Januari.
Jualan tiket bermula pagi semalam dan ia habis dijual menjelang petang – termasuk kategori tempat duduk paling mahal.
“Pada 24 Januari, saya akan menjadi wanita paling bahagia di dunia,” kata salah seorang peminat yang berjaya mendapatkan tiket.
“Tidak kira apa yang anda fikirkan tentang Ronaldo, anda tidak boleh menafikan kehebatannya sebagai pemain,” kata peminat yang lain.
Seteru tradisi Ronaldo, Lionel Messi memeriahkan Stadium Beijing tahun lalu apabila dia menjaringkan gol selepas 79 saat ketika Argentina menewaskan Australia 2-0 dalam aksi persahabatan di China.
– AGENSI
-BeritaHarian