AS, sekutu beri amaran terakhir kepada Huthi hentikan serangan laut

Estimate Reading Time: 2 minutes

WASHINGTON: Dua belas negara diketuai Amerika Syarikat (AS), semalam, memberi amaran kepada kumpulan Huthi Yaman mengenai akibat bakal dihadapi, melainkan mereka segera menghentikan serangan laut yang semakin menggugat perdagangan global.

-Advertisement-

Pentadbiran Presiden Joe Biden menyifatkan kenyataan yang turut disertai Britain, Jerman dan Jepun itu, sebagai amaran terakhir ketika beliau menimbang kemungkinan tindak balas tenteranya terhadap Huthi.

Kumpulan disokong Iran, yang menguasai sebahagian besar Yaman termasuk ibu kota Sanaa dan sebahagian besar pantai Laut Merah, sudah menembak kapal-kapal yang didakwa ada kaitan dengan Israel sebagai tanda solidariti dengan rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.

“Mesej jelas kami sekarang, kami menyeru agar serangan ini dihentikan serta-merta dan menuntut pembebasan kapal dan kru yang ditahan secara tidak sah.

“Pihak Huthi akan menanggung akibatnya sekiranya mereka terus mengancam nyawa, ekonomi global dan aliran bebas perdagangan di laluan perairan di rantau ini,” menurut kenyataan bersama dikeluarkan Rumah Putih.

Seorang pegawai kanan pentadbiran Biden, berkata biarpun kenyataan itu tidak memperincikan bentuk akibat bakal dihadapi Huthi, namun menyifatkan mesej itu sangat jelas.

“Saya tidak menjangkakan bentuk amaran lain. Saya rasa kenyataan ini sudah menyatakan ketegasannya,” kata pegawai itu kepada pemberita.

Pegawai itu menjelaskan, Biden berunding dengan pasukan keselamatan negaranya pada 1 Januari lalu ketika bercuti di Kepulauan Virgin AS untuk menentukan tindakan pilihan ekoran serangan Huthi.

-Advertisement-

Britain, sekutu rapat AS dalam isu keselamatan, sudah mengeluarkan amaran menerusi kenyataan disampaikan Perdana Menteri, Rishi Sunak yang menuntut Huthi menamatkan serangan ke atas kapal di perairan itu.

“United Kingdom (UK) akan sentiasa mengambil tindakan untuk mempertahankan kebebasan pelayarannya,” ciap Sunak di akaun X.

AS sebelum ini menghantar kapal pengangkut pesawat ke perairan itu dan mengumumkan pakatan tentera laut untuk melindungi pergerakan di Laut Merah, yang menyumbang 15 peratus perdagangan global, menurut angka Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

UK menempatkan kapal pemusnah Tentera Laut Diraja, HMS Diamond, untuk memperkukuh kehadiran British di kawasan teluk itu.

Pada Ahad, tentera AS berkata sudah menenggelamkan tiga bot Huthi berikutan serangan ke atas kapal kontena gergasi Denmark, Maersk.

Kumpulan itu menyatakan 10 pejuang mereka terbunuh dalam insiden itu.

Huthi pada Rabu mengumumkan serangan terbaru daripada lebih 20 setakat ini, ke atas sebuah kapal pengangkut tertera bendera Malta kerana dipercayai menuju ke wilayah Palestin yang diduduki.
-AFP
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373