Tolak vaksin COVID-19: Lagi ramai tolak, lagi tinggi beban keluarga, kerajaan, pesan pakar

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: Malaysia dijangka peroleh vaksin COVID-19 pada tahun depan, namun dilaporkan masih ada rakyat yang ragu-ragu susulan lambakan maklumat yang meragukan dalam talian.

-Advertisement-

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Dr Zainal Ariffin Omar berkata adalah satu kerugian bagi pihak yang menolak ikhtiar vaksin berdasarkan maklumat yang salah – pada diri sendiri yang terdedah kepada penyakit, serta keluarga, jabatan kesihatan, dan kerajaan yang kena menanggung bebannya.

“Jika ramai yang tolak, penyakit banyak dan beban lagi tinggi,” katanya kepada FMT, ketika ditanya setinggi mana ancaman khabar angin dan teori konspirasi berkaitan pandemik kepada keselamatan orang ramai.

Sepasukan penyelidik penyakit berjangkit antarabangsa dalam satu kajian yang dilaporkan pada Ogos mendapati ribuan khabar angin, stigma, dan teori konspirasi berkaitan COVID-19 yang dikenal pasti dalam talian bukan sahaja tidak membantu, banyak yang berbahaya malah dalam beberapa kes membawa maut.

Menurut laporan Science Alert, kajian “COVID-19–Related Infodemic and Its Impact on Public Health: A Global Social Media Analysis” mendapati maklumat salah mendakwa minum methanol boleh atasi virus korona menyebabkan 800 orang mati di Iran.

Zainal berkata pelbagai isu boleh jadi faktor kepada penyebaran berita palsu berkenaan vaksin COVID-19, yang dikhuatiri boleh merosakkan kepercayaan rakyat pada sistem kesihatan dan kerajaan.

Ditanya adakah perjanjian kerahsiaan dalam pemerolehan vaksin menyumbang kepada keraguan orang ramai, katanya, kerajaan perlu lebih telus dan memperbanyak kerjasama dengan badan bukan kerajaan dan persatuan profesional dalam meraih keyakinan rakyat.

“Tanpa ada rahsia,” katanya.

Katanya lagi, kerajaan juga kena lebih banyak beri penerangan tentang hak pengguna dan apa tindakan yang boleh diambil sekiranya muncul kesan sampingan daripada vaksin itu.

-Advertisement-

“Kerajaan ada sistem maklum balas dan pampasan jika berlaku perkara sedemikian,” katanya, dan menambah sudah banyak program kesihatan dijalankan sebelum ini.

Sementara itu, FMT mendapatkan pandangan orang awam yang ditemui dalam tinjauan berdekatan hospital di Lembah Klang, mengenai mengambil vaksin.

Haris Abdul Rahman merasakan golongan warga emas sepertinya tiada pilihan selain mengambil vaksin COVID-19 memandangkan keadaan kesihatan dan faktor usia.

“Kalau dah sakit terpaksalah ambil tetapi kalau tiada penyakit, pakcik memang tidak akan ambil seboleh-bolehnya.”

“Jika keadaan kesihatan saya baik, saya tidak ambil vaksin itu kerana ramai lagi yang lebih memerlukan. Tetapi jika dalam situasi mendesak dan perlu, saya akan ambil,” kata seorang ibu, Aida Osman.

Seorang lagi ibu, Normah, dan anak lelakinya, Adam, pula menganggap vaksin sebagai langkah terakhir, kerana tidak mustahil Malaysia mampu tangani penularan COVID-19 sekiranya semua pihak ikut SOP.

“Kalau tengok negara China dulu memang tinggi kes, tapi jumlah kes berjaya dikurangkan dengan mengikut SOP…jadi kita mungkin tidak perlu tergesa-gesa mendapatkan vaksin,” katanya.-FMT