Trend WFH dijangka berterusan, jadi pilihan pekerja selepas PKP

Estimate Reading Time: 3 minutes

KUALA LUMPUR: Berbicara tentang normal baharu yang sedang diadaptasi rakyat Malaysia sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa 18 Mac lepas, ia sudah tentu menyentuh normal baharu bekerja dari rumah (WFH) yang rata-rata dilalui golongan pekerja kini.

WFH sebenarnya bukan satu istilah yang baharu, malah kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telahpun memperkenalkan inisiatif itu pada tahun 2013 lagi.

-Advertisement-

Bagaimanapun ia kurang mendapat perhatian dan masyarakat masih selesa bekerja di pejabat kerana pada masa itu mereka masih ada pilihan, dan kini segalanya berubah gara-gara pelaksanaan PKP.

Berkongsi pengalaman bekerja dari rumah selepas ‘tersekat’ di kampungnya di Sungai Petani, Kedah sejak PKP fasa pertama dilaksanakan, Nur Haniza Kamal Bahrin, 30, berkata, trend bekerja dari rumah mampu menjadi satu lagi budaya masyarakat, bukan kerana PKP, tetapi kerana ia amat praktikal.

“Memang mula-mula tu, payah sikit sebab keadaan internet di kampung agak perlahan. Tapi bila dah dapat ‘rentak,’ semua okay. Ditambah sekarang adalah bulan Ramadan, ia lagi memudahkan sebab tak perlu berkejar pulang dari pejabat untuk siapkan juadah berbuka.

“Janji, kerja disiapkan mengikut waktu dan kita selalu berkomunikasi dengan ‘bos’ dan rakan sepasukan,” katanya yang merupakan seorang penganalisis data.

Bagi pelukis pelan, Affan Yassin, 27, selepas sebulan mengadaptasi suasana bekerja dari rumah, dia semakin selesa, malah kini mempunyai pejabat kecil untuk memudahkannya melakukan kerja-kerja yang diberikan.

“Anak saya pada mulanya kacau juga, tapi sekarang sudah mula faham dengan situasi saya yang perlu bekerja dari rumah. Jadi, apabila saya mula mengadap komputer, mereka tak akan kacau. Walaupun kerja saya masih perlu ke pejabat, tapi WFH memang praktikal dan tak salah kalau diteruskan selepas PKP ditamatkan,” katanya.

-Advertisement-

Bersandarkan situasi itu, Prof. Madya Jabatan Sosiologi dan Antropologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr. Rohaiza Rokis berkata, WFH sememangnya satu konsep kehidupan yang sangat ideal.

“Dalam konteks ini, para pekerja diberi ruang kebebasan bukan sahaja secara fizikal malahan psikososial juga memandangkan mereka tidak perlu patuh kepada banyak SOP (biasa) dan manual pekerjaan seperti isu kedatangan harian dan bekerja di bawah sistem hirarki badan pengurusan yang berlandaskan “face-to-face”.

“Ia memadai dengan memberi kepentingan bahawa sesuatu tugasan yang diberikan dapat diselesaikan dalam waktu yang diperuntukkan. Dalam banyak hal, perkara ini amat menenangkan jiwa mereka,” katanya.

Namun jelas Rohaiza, tidak semua yang ideal itu praktikal kerana WFH selepas ini mungkin boleh menjadi kebiasaan bagi hanya sesetengah pekerjaan sahaja, manakala urusan rasmi jabatan tidak dibolehkan menjadi kelaziman.

Walaupun beliau tidak menolak medium ini mungkin akan menjadi pilihan utama para pekerja terutama golongan ibu, Rohaiza menegaskan bidang kerja seseorang pekerja akan menentukan samada mereka boleh atau tidak mengamalkan WFH.

“Natijah jika semua pekerja wanita memilih WFH agak besar dan mungkin juga merosakkan cabang pekerjaan lain. Sebagai contoh, mungkin banyak pusat asuhan bayi dan kanak-kanak akan terkesan dari pemilihan para ibu yang bekerja WFH ini,” jelasnya.

Turut mengakui bekerja dari rumah sebagai cara mengurangkan kesesakan jalan raya, langkah mengurangkan kos hidup dan memelihara alam sekitar, Rohaiza menjelaskan dalam masa yang sama masyarakat perlu memastikan medium ini tidak membawa kepada kesan dinamo negatif kepada tahap ekonomi negara.

Pengurus Besar Centre of Technical Excellence Sarawak (Centexs) Shahren Yusri pula berpendapat, normal baharu ini akan berterusan walaupun selepas berakhirnya pandemik COVID-19, meskipun mungkin ada perasaan ‘kekok’ terutama dari aspek penggunaan teknologi seperti persidangan video, Zoom atau Microsoft.

“Mahu atau tidak, kita harus mengaplikasikan penggunaan teknologi dalam kehidupan kita yang mana ia telah lama wujud, tetapi jarang digunakan sebab sudah terbiasa dengan cara manual. Contohnya menghadiri mesyuarat dan berjumpa secara fizikal,”katanya.

Tidak dinafikan akan ada rasa kekok menggunakan teknologi itu, Shahren bagaimanapun menjelaskan apabila ia dipraktikkan selalu dan menjadi satu kebiasaan, masyarakat akan dapati teknologi berkenaan mudah dan berkesan malah menjimatkan dari aspek kewangan dan tenaga.

Mengulas dari aspek penerimaan pihak majikan, Shahren berkata medium WFH mungkin akan dipertimbangkan oleh majikan bagi kebanyakan sektor terutamanya yang bekerja di pejabat sepenuhnya memandangkan ia selamat dan mudah.

“Mungkin akan ada keperluan untuk datang ke pejabat tetapi tidak seperti dulu. Mungkin mesyuarat bersama pihak ketiga tidak perlu lagi diadakan di satu tempat bersama.

“Semua ini perlukan sedikit masa untuk kita ‘membiasakan diri’ dalam rutin seharian pekerjaan kita. Majikan perlu bijak mengurus perkara ini agar semua yang bekerja di rumah menghasilkan produktiviti atau mencapai KPI yang ditetapkan,” ulasnya.

 Mengenai cara terbaik memantau pekerja yang bekerja dari rumah, Shahren menjelaskan terdapat banyak kaedah boleh dilakukan termasuklah menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI), melaporkan perkara mengikut masa ditetapkan dan menggunakan jam kredit bekerja di rumah.

“Sebagai contoh dalam satu minggu, mungkin pekerja akan bekerja selama empat hari di rumah dan tiga hari pejabat, mengikut jadual yang telah ditentukan untuk menyiapkan kerja yang perlu dibuat di pejabat,” katanya.

– BERNAMA