MIRI 8 Mei 2026 (The Capital Post) – Kolej Vokasional Miri menjadi lokasi pertama persinggahan bagi Program Tindak Susul Parlimen di Sarawak yang memberi fokus kepada pemerkasaan pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) sebagai agenda utama pembangunan modal insan negara.
Lawatan tersebut turut memberi peluang kepada delegasi melihat sendiri pelbagai kemudahan serta bidang pengajian yang ditawarkan institusi berkenaan termasuk Teknologi Kimpalan, Automotif, Pemesinan Industri, Elektrik dan Pengurusan Pelancongan.
Antara tarikan utama sepanjang program ialah demonstrasi kerja kimpalan yang dipersembahkan oleh pelajar kolej tersebut, selain memperlihatkan kemahiran teknikal yang dipelajari menerusi kerjasama strategik bersama syarikat tenaga antarabangsa, Shell sebagai rakan industri.
Dalam sesi perkongsian bersama hampir 400 pelajar, pensyarah dan warga kolej, penekanan turut diberikan terhadap peranan TVET yang kini dilihat sebagai antara laluan pendidikan arus perdana dan semakin mendapat perhatian dalam pembangunan negara.
-Advertisement-
Menurut beliau, kebolehpasaran graduan TVET yang tinggi sehingga mencecah 99 peratus setiap tahun membuktikan bidang kemahiran mampu menawarkan peluang pekerjaan yang stabil serta memenuhi permintaan industri semasa.
Pendekatan kerjasama antara institusi pendidikan dan pemain industri juga disifatkan penting bagi memastikan latihan diberikan selari dengan keperluan pasaran pekerjaan serta perkembangan teknologi terkini.
Program berkenaan diharap dapat terus menyuntik motivasi kepada pelajar untuk mencapai kecemerlangan sekali gus melahirkan lebih ramai tenaga mahir yang mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan industri negara pada masa hadapan. -The Capital Post