PASIR GUDANG, Johor, 10 Julai 2026 (The Capital Post) – Kerajaan akan terus memperluas akses Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada semua lapisan masyarakat sebagai usaha melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, meningkatkan kebolehpasaran graduan serta menyokong agenda pembangunan ekonomi negara.
Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata demikian ketika berucap dalam Program Apa Khabar Siswa Bersama DSZH di Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) yang menghimpunkan lebih 1,000 mahasiswa daripada Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam sekitar Negeri Johor.
Beliau berkata TVET kini semakin berkembang sebagai pilihan utama dalam kalangan lepasan sekolah berikutan peningkatan keyakinan masyarakat terhadap prospek kerjaya, peluang memperoleh pendapatan kompetitif serta permintaan berterusan industri terhadap tenaga kerja mahir.
Ahmad Zahid berkata kerajaan turut memperluas laluan kepada lepasan sekolah agama, maahad tahfiz dan institusi pondok untuk mengikuti bidang TVET menerusi laluan kemahiran yang diiktiraf sebelum melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.
Menurut beliau, pendekatan itu membuktikan bahawa latar belakang pendidikan bukan lagi menjadi penghalang untuk melahirkan jurutera, tenaga profesional dan pekerja mahir, malah pelajar tahfiz yang menceburi bidang teknikal menunjukkan kemampuan menyesuaikan diri dengan baik selain memiliki disiplin dan daya tumpuan yang tinggi.
Beliau berkata pembangunan bakat melalui TVET perlu terus diperkasakan bagi memenuhi permintaan tenaga kerja berkemahiran tinggi, khususnya dalam sektor strategik yang dipacu pelaburan baharu termasuk pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
-Advertisement-
Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata program berkenaan memberi peluang kepada mahasiswa mendapatkan penjelasan secara langsung mengenai dasar kerajaan selain menyampaikan pandangan serta cadangan berkaitan pendidikan tinggi, pembangunan bakat dan masa depan negara.
Sepanjang sesi dialog tersebut, mahasiswa mengemukakan pelbagai persoalan berkaitan TVET, kebolehpasaran graduan, pembangunan ekonomi Johor, peluang pekerjaan, penglibatan belia dalam pembangunan negara serta hala tuju pendidikan tinggi yang dijawab secara terbuka oleh kepimpinan kerajaan.
Menurut satu hantaran di laman Facebook rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi, program itu turut menyaksikan penyampaian Bantuan Care4U daripada Yayasan Perkasa Siswa (YPS) kepada penerima yang layak, selain pengumuman bahawa Baucar Buku Kementerian Pendidikan Tinggi boleh mula ditebus mulai 15 Julai 2026 sebagai salah satu inisiatif kerajaan dalam membantu kebajikan mahasiswa.
Turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah, serta barisan pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti serta institusi pengajian tinggi awam. – The Capital Post.