PUTRAJAYA 21 Mei 2026 (The Capital Post) – Menteri Pendidikan Malaysia, YB Fadhlina Sidek semalam menerima kunjungan daripada UNICEF, persatuan masyarakat sivil serta ahli akademik bagi penyerahan kertas dasar berkaitan pendidikan awal kanak-kanak Orang Asal dan Orang Asli di Malaysia.
Penyerahan kertas dasar tersebut merupakan satu langkah penting dalam menyokong pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 yang memberi fokus kepada usaha berterusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk merapatkan jurang pendidikan dalam kalangan anak Orang Asli dan komuniti peribumi.
Dalam pertemuan itu, YB Fadhlina Sidek menegaskan bahawa setiap cadangan dan input yang dikemukakan akan diteliti secara menyeluruh kerana ia melibatkan masa depan pendidikan generasi akan datang.
Beliau turut menzahirkan komitmen KPM untuk terus memperkukuh akses pendidikan yang inklusif dan saksama bagi semua kanak-kanak tanpa mengira latar belakang, lokasi mahupun komuniti.
-Advertisement-
Tambah beliau, matlamat semua pihak yang terlibat adalah jelas iaitu memastikan setiap kanak-kanak di Malaysia mendapat peluang pendidikan terbaik bagi menjamin masa depan yang lebih cerah.
KPM turut menyambut baik kerjasama strategik bersama UNICEF dan pihak berkaitan dalam memperkukuh dasar serta pelaksanaan pendidikan awal kanak-kanak di negara ini. – The Capital Post