Vaksinasi harapan industri pelancongan kembali bangkit

Estimate Reading Time: 3 minutes

COVID-19 memberi kesan sangat hebat kepada industri pelancongan sepanjang hampir dua tahun pandemik ini melanda dunia dan negara.

-Advertisement-

Penggerak industri sangat terkesan hingga ada terpaksa memberhentikan operasi kerana ketiadaan pelancong akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penutupan sempadan negara.

Pada masa sama, banyak lagi sektor berkaitan terus terjejas dan mungkin akan memerlukan masa bertahun-tahun untuk pulih.

Ini tentunya memberi kesan kepada 3.5 juta rakyat terbabit secara langsung atau tidak langsung dalam sektor pelancongan. Ia tidak termasuk sektor peruncitan, pengangkutan dan pendidikan, pusat beli-belah, pengangkutan serta peniaga kecil yang bergantung kepada sektor ini pastinya turut terjejas.

Selama penjarakan fizikal dan sekatan kesihatan awam diperlukan, industri bergantung kepada perkhidmatan secara bersemuka akan terus menderita. Namun, sedikit kelegaan dapat dirasakan dengan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang membantu dalam mengurangkan kesan wabak ini.

PICK ketika ini diharapkan dapat menjadi antara langkah terbaik untuk keluar daripada cabaran pandemik.

Dengan pencapaian kadar vaksinasi negara ini antara tertinggi di Asia Tenggara, sasaran sekurang-kurangnya 80 peratus populasi rakyat lengkap divaksin pada hujung tahun ini diharap dapat dicapai.

Oleh itu, industri pelancongan turut berperanan menjayakan program vaksinasi ini. Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) memperkenalkan Program Destinasi Bebas COVID-19 melalui tiga fasa Pelan Pemulihan Pelancongan (TRP) yang akan membantu mempercepat dan menggandakan bilangan individu divaksin dalam sektor ini.

Pulau Langkawi dan Kuching dipilih sebagai destinasi rintis bagi fasa pertama. Fasa kedua pula akan diperluaskan ke pulau peranginan yang menjadi tumpuan utama pelancong seperti Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Pangkor serta Pulau Tioman.

MOTAC bersama agensi terbabit dan kerajaan negeri akan menentukan destinasi pelancongan utama yang menjadi tarikan pelancong untuk diketengahkan sebagai lokasi Destinasi Bebas COVID-19.

Usaha pertama ke arah menghidupkan semula industri pelancongan bergantung kepada kadar vaksinasi negara. Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, kira-kira 30 peratus petugas barisan hadapan dalam sektor pelancongan sudah menerima vaksin setakat ini.

Ini termasuk beberapa negeri aktif dalam sektor pelancongan seperti Melaka, Pulau Pinang, Johor, Sabah, Kuala Lumpur dan Pahang, terutama petugas barisan hadapan sektor pelancongan, kraf serta kesenian.

Agensi kerajaan setempat melalui jabatan pelancongan negeri turut membantu menjayakan PICK bagi memastikan penggerak industri pelancongan dapat divaksin, seterusnya bersedia untuk pembukaan Destinasi Bebas COVID-19.

Pembukaan ini bukan sahaja membabitkan Malaysia, bahkan negara ASEAN. Kebanyakan negara ASEAN kini mempercepat program imunisasi masing-masing untuk bersedia jika sempadan antarabangsa dibuka tidak lama lagi.

-Advertisement-

Oleh itu, protokol pasport vaksin antara negara ASEAN perlu dibincangkan secara serius agar dapat diterima secara meluas.

Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) mencadangkan negara ASEAN mewujudkan Sijil Digital COVID-19 ASEAN sebagai persediaan untuk pembukaan semula sempadan di rantau ini.

Persatuan itu juga meminta ASEAN menimbangkan Pas Perjalanan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) dan pasport vaksin Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Ia penting untuk memastikan keselamatan dan kesetaraan dalam industri pelancongan.

Justeru, pelan tindakan segera harus diwujudkan untuk memastikan industri pelancongan dapat dihidupkan selepas negara mencapai tahap imuniti berkelompok disasarkan.

Sijil atau pasport vaksin boleh digunakan sebagai bukti kukuh dalam membuka sekatan perjalanan dengan selamat. Sasaran negara mencapai imuniti berkelompok hujung tahun ini, harus dijadikan petunjuk kepada pembukaan industri pelancongan tanah air.

Pembukaan semula industri pelancongan negara diharap mampu memberi nafas lega kepada penggerak industri, penduduk setempat dan rakyat.

Bagaimanapun, ia perlu diperhalusi terutama ke arah pengurusan risiko dan prosedur operasi standard (SOP) jelas termasuk langkah pencegahan terperinci untuk memastikan kluster pelancongan pada tahap minimum.

Selain itu, penggunaan digital teknologi perlu dimaksimumkan di setiap destinasi untuk memastikan pelancong boleh mengakses MySejahtera. Ia juga bagi mendapatkan maklumat tepat situasi destinasi pelancongan selamat dikunjungi dan membantu mengawal jumlah serta kepadatan pelawat.

Diharap TRP dan inisiatif diambil MOTAC ini dapat menjadi pemangkin kepada industri pelancongan dan budaya kembali bangkit, seterusnya membantu negara dalam mempercepat fasa pemulihan ekonomi negara.

Justeru, kerjasama seluruh rakyat dalam menjayakan PICK amat penting dalam pembangunan negara pasca COVID-19 kelak.

Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, Universiti Teknologi MARA (UiTM)

-BH