Wanita buat komediri didakwa pagi ini

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Wanita yang didakwa menghina Islam dalam program dianjurkan sebuah kelab komedi tiba di Kompleks Mahkamah di sini, pagi ini dan dijangka berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menghina Islam.

-Advertisement-

Suspek berusia 28 tahun memakai kot hitam dan baju kuning itu tiba jam 9 pagi tadi dengan bergari, sebelum diiringi dua anggota polis dibawa masuk ke mahkamah.

Puluhan pengamal media daripada pelbagai agensi berkumpul di pekarangan mahkamah seawal jam 7.30 pagi untuk merakam video serta gambar wanita itu.

Teman lelaki wanita berkenaan berusia 38 tahun pula dipercayai akan didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pagi ini mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Media sebelum ini melaporkan, wanita itu ditahan di Jalan Gasing, Petaling Jaya, Sabtu lalu dan direman empat hari sehingga hari ini, manakala teman lelakinya ditahan keesokannya serta direman tiga hari hingga tempoh sama.

-Advertisement-

Sebelum ini, tular satu video di media sosial memaparkan wanita itu yang mengaku berasal dari Kuala Kangsar, Perak, menghina Islam ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail (TTDI).

Dalam video berdurasi 54 saat itu, wanita terbabit mendakwa dirinya beragama Islam serta menghafal 15 juzuk al-Quran sebelum secara tiba-tiba menanggalkan baju kurung serta tudungnya hingga mendedahkan aurat.

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) juga menyatakan sedang menyiasat video itu, manakala Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggantung sementara secara serta-merta lesen kelab komedi itu susulan tular video berkenaan.

-BH