Wanita hamil, ibu menyusu disaran dapatkan dos penggalak kedua

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesyorkan wanita hamil atau ibu yang menyusukan bayi perlu mendapatkan dos penggalak kedua Messenger Asid Ribonukleik atau mRNA.

-Advertisement-

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata ia berikutan wanita mengandung dikategorikan sebagai golongan rentan kerana berisiko tinggi mendapat penyakit teruk akibat jangkitan COVID-19.

“Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) KKM pada 3 Ogos lalu membincangkan cadangan atau syor terkini berkaitan pemberian vaksin COVID-19 yang membabitkan pemberian dos primer, dos penggalak dan dos penggalak kedua.

“Antara keputusan atau syor terkini yang diputuskan oleh TWG pada 3 September lalu adalah mengenai pemberian dos penggalak kedua mRNA untuk wanita mengandung atau menyusu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Persatuan Perubatan Biosimilar dan Generik Antarabangsa (IGBA) -Persatuan Industri Farmaseutikal Malaysia (MOPI) di sini, hari ini.

Tambahan lagi katanya, jangkitan COVID-19 juga boleh meningkatkan risiko untuk mendapat komplikasi yang seterusnya boleh menjejaskan kehamilan dan perkembangan bayi.

“Data sedia ada menunjukkan bahawa vaksin mRNA berkesan mengurangkan risiko untuk mendapat jangkitan COVID-19 yang teruk semasa kehamilan.

-Advertisement-

“Antibodi yang dihasilkan selepas wanita mengandung itu mengambil vaksin turut dikesan pada bayi dan boleh membantu melindungi bayi terbabit daripada jangkitan COVID-19,” katanya.

Katanya, data keselamatan vaksin sedia ada juga tidak menunjukkan sebarang peningkatan risiko keguguran, komplikasi kehamilan dan kecacatan kelahiran, mahupun sebarang kebimbangan ke atas aspek keselamatan bagi wanita mengandung yang menerima vaksin mRNA.

“Berdasarkan data-data sedia ada, wanita mengandung dan menyusu anak boleh menerima vaksin dos primer atau dos penggalak COVID-19. Bagi wanita yang berisiko mendapat penyakit yang teruk akibat COVID-19, mereka juga boleh menerima dos penggalak kedua pada bila-bila masa sepanjang tempoh kehamilan.

“Saranan ini juga selari dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang turut mengesyorkan pemberian dos penggalak kedua untuk wanita yang hamil,” katanya.

-BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373