KUALA LUMPUR 30 Jun 2026, (The Capital Post) – Pertandingan World of Robotics Championship (WRC) PRO 2026 yang berlangsung di Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU) menghimpunkan pelajar berusia antara 13 hingga 19 tahun daripada pelbagai institusi pendidikan termasuk Kolej Vokasional dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) bagi mempamerkan kemahiran serta inovasi dalam bidang robotik.
Penganjuran pertandingan itu bertujuan memperkukuh penguasaan teknologi abad ke-21 dalam kalangan generasi muda, di samping menggalakkan pemikiran kreatif, penyelesaian masalah dan pembangunan inovasi yang menyokong agenda Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) negara.
Majlis turut dihadiri YBhg. Dato’ Ruziah Binti Shafei, yang hadir bagi memberi sokongan serta galakan kepada para peserta dalam usaha melahirkan lebih ramai bakat muda berpotensi dalam bidang sains dan teknologi.
-Advertisement-
Memasuki penganjuran edisi kelapan, WRC PRO terus menjadi platform penting dalam mencungkil kebolehan pelajar dan belia menerusi pertandingan berasaskan robotik serta teknologi. Program ini turut memperkukuh ekosistem pembangunan bakat STEM dan menyokong usaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam membentuk modal insan berkemahiran tinggi.
Melalui penganjuran berterusan pertandingan seumpama ini, Malaysia diharap dapat melahirkan lebih ramai inovator dan tenaga mahir yang mampu menyumbang kepada pembangunan teknologi negara serta meningkatkan daya saing di peringkat global. – The Capital Post