Yakin 80 peratus terima vaksin di Lembah Klang menjelang 1 Ogos

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Operasi lonjakan kapasiti yang dilaksanakan di Lembah Klang ketika ini diyakini dapat membantu untuk mencapai sasaran pemberian sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19 kepada 80 peratus populasi dewasa menjelang 1 Ogos ini.

-Advertisement-

Pengerusi MedTweetMY, Dr Khairul Hafidz Alkhair Khairul Amin, berkata keyakinan itu berdasarkan kapasiti vaksinasi di Lembah Klang yang ditingkatkan sejak beberapa hari lalu dengan rekod tertinggi 238,518 dos dalam satu hari, kelmarin.

Selain itu, katanya, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) sudah memperhebatkan usaha memberi slot janji temu kepada populasi dewasa di Lembah Klang sejak beberapa hari lalu.

“Data JKJAV menyaksikan 60 peratus populasi di Selangor dan Kuala Lumpur sudah menerima satu dos vaksin, manakala kira-kira 83 peratus golongan dewasa pula sudah terima satu dos vaksin dan hampir 30 peratus sudah lengkap divaksinasi, sehingga kelmarin.

“Bagi (golongan) dewasa kita sebenarnya sudah pun capai (80 peratus yang terima satu vaksin), tetapi masih mahu seramai mungkin (populasi) divaksinasi supaya dapat bantu mengekang penularan COVID-19.

“Justeru, untuk mencapai 80 peratus dalam tempoh berbaki tiga hari lagi, bukan sesuatu yang mustahil,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

BH baru-baru ini melaporkan kadar pemberian vaksin menerusi ‘operasi lonjakan kapasiti’ akan ditingkatkan di Kuala Lumpur dan Selangor bagi membendung penularan COVID-19 berikutan laporan kes harian yang tinggi hampir setiap hari di Lembah Klang.

Seramai 6.1 juta populasi dewasa di Lembah Klang seperti dalam rekod Jabatan Perangkaan Malaysia disasarkan menerusi operasi itu.

-Advertisement-

Setakat 15 Julai lalu, 3.5 juta individu sudah menerima satu dos dan menerusi pelaksanaan operasi berkenaan pula, seramai 1.3 juta individu dewasa di Lembah Klang disasarkan menerima dos pertama vaksin COVID-19 bermula 16 hingga 25 Julai, manakala baki 1.3 juta lagi dari 26 Julai hingga 1 Ogos ini.

Rentetan itu, keupayaan dan kapasiti vaksinasi di Lembah Klang akan ditingkatkan, susulan pelaksanaan operasi berkenaan, daripada 180,000 dos kepada 272,000 dos sehari.

Dr Khairul Hafidz Alkhair berkata, pemberian sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19 itu dapat mengurangkan kebarangkalian penerima perlu dirawat di hospital, jika dijangkiti virus berkenaan.

“Pemberian satu dos ini bantu kita kurangkan kebarangkalian (pesakit) dimasukkan ke hospital jika dijangkiti COVID-19 kerana gejala teruk berkurangan selepas mendapat satu dos pelalian.

“Menerusi satu dos ini kita sekurang-kurangnya ada sedikit perlindungan, tetapi perlu juga lengkapkan vaksinasi bagi memastikan dapat perlindungan sepenuhnya.

“Apabila penerima mendapat dua dos, terutama selepas mengambil kira penularan varian Delta dalam komuniti, sekali gus membantu mencapai imuniti kelompok apabila 70 hingga 80 peratus populasi lengkap divaksinasi,” katanya. -BH