JOHOR BAHRU 29 Jun 2026 (The Capital Post) – Timbalan Menteri Komunikasi, YB Teo Nie Ching mengadakan lawatan ke Pusat Media Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor Ke-16 di Hotel Seri Malaysia, Johor Bahru bagi meninjau tahap kesiapsiagaan operasi serta kemudahan yang disediakan kepada pengamal media sepanjang proses liputan pilihan raya berlangsung.
Lawatan tersebut bertujuan memastikan pengoperasian pusat media berjalan lancar sekali gus menyediakan persekitaran kerja yang kondusif kepada pengamal media dalam melaksanakan tugasan menyampaikan perkembangan semasa pilihan raya kepada orang ramai.
Sepanjang lawatan, YB Teo turut beramah mesra dengan wakil media daripada pelbagai organisasi dan merakamkan penghargaan atas komitmen serta profesionalisme mereka dalam menyampaikan laporan yang tepat, sahih dan terkini kepada masyarakat.
-Advertisement-
Beliau turut menegaskan bahawa peranan media amat penting dalam memastikan rakyat memperoleh maklumat yang berwibawa dan seimbang sepanjang tempoh pilihan raya, selaras dengan prinsip penyampaian maklumat yang bertanggungjawab.
Lawatan ini mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Komunikasi dalam menyokong kelancaran operasi media serta memastikan segala keperluan pengamal media diberi perhatian bagi membolehkan liputan PRU Dewan Negeri Johor Ke-16 dilaksanakan secara berkesan. – The Capital Post