Zantat bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Pengeluar kalsium karbonat, Zantat Holdings Bhd memeterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities Sdn Bhd untuk penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd.

-Advertisement-

Menurut syarikat itu, tawaran awam permulaan (IPO) membabitkan terbitan awam sebanyak 56 juta saham baharu (saham terbitan), mewakili 20 peratus modal saham diperbesarkan Zantat dan tawaran bagi jualan sebanyak 16.8 juta saham sedia ada secara penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

“Daripada 56 juta saham terbitan, 14 juta saham terbitan akan ditawarkan kepada orang awam Malaysia secara cabutan undi; sebanyak 11.2 juta saham terbitan untuk pengarah, kakitangan dan orang perseorangan berkelayakan yang menyumbang kepada kejayaan Zantat Group di bawah Peruntukan Borang Merah Jambu, manakala baki 30.8 juta saham terbitan dikhaskan untuk penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

“Menurut perjanjian taja jamin ini, M&A Securities akan menaja jamin sejumlah 25.2 juta saham terbitan yang ditawarkan kepada orang awam Malaysia dan Peruntukan Borang Merah Jambu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pengarah Urusan Zantat, Ivan Chan, berkata proses IPO itu adalah tepat pada masanya bagi syarikat kerana ia akan membolehkan Zantat meraih akses kepada pasaran modal Malaysia bagi menjana dana untuk pelaksanaan pelan perluasan dan bagi menyokong pertumbuhan berterusan syarikat.

Beliau berkata, IPO ini akan menyaksikan Zantat merealisasikan rancangan untuk mengembangkan aplikasi produk kalsium karbonat tanah kepada industri kebersihan dan pembungkusan plastik yang bernilai tambah tinggi.
“Kami memerhatikan bahawa pengeluar di seluruh dunia, terutamanya dalam pembuatan plastik, secara beransur-ansur bergerak ke arah pendekatan pengeluaran lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar berikutan peningkatan tekanan terhadap keperluan kemampanan.

“Justeru, pengeluar menggunakan pengisi kalsium karbonat dalam formulasi mereka untuk menggantikan sebahagian plastik dan juga untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

“Kami mempunyai pelbagai rangkaian produk kalsium karbonat dan berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan pergerakan global ini, kerana telah mengkomersialkan beberapa jenis produk kalsium karbonat tanah yang sesuai digunakan sebagai pengisi yang digunakan untuk mengurangkan komposisi plastik, menjadikannya lebih mesra alam,” katanya.

-Advertisement-

Zantat adalah satu daripada pengeluar terbesar produk kalsium karbonat gred tinggi di rantau ini dengan sejarah operasi selama 39 tahun di Malaysia.

Melalui anak syarikatnya, Zantat terbabit terutamanya dalam pengeluaran produk kalsium karbonat iaitu kalsium karbonat tanah dan penyebaran kalsium karbonat.

Syarikat itu juga terbabit dalam pengeluaran penyebaran kaolin, pemprosesan kalsium karbonat yang diproses ultra halus, perdagangan mineral industri lain dan penjualan produk kuari batu kapur.

Perniagaan pengkompaunan bioplastiknya sedang dalam proses pengkomersialan.

Produk Zantat kebanyakannya dijual ke negara-negara di rantau Asia Pasifik dengan India sebagai pasaran terbesar diikuti oleh Malaysia.

Kumpulan pelanggan terbesar syarikat itu antara lain ialah pengeluar ‘masterbatch’ plastik diikuti oleh pengeluar sarung tangan getah, pengeluar paip PVC dan kabel, dan pengeluar lain termasuk cat dan salutan, produk getah lain, sebatian acuan kepingan, seramik dan tembikar, pelekat, plaster dan perabot.

M&A Securities adalah penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk pelaksanaan IPO berkenaan.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373