Zimbabwe rancang migrasi hidupan liar besar-besaran susulan kemarau

Estimate Reading Time: < 1 minute

ANKARA- Pihak berkuasa di Zimbabwe telah memutuskan untuk melaksanakan migrasi hidupan liar secara besar-besaran dari sebuah taman di bahagian selatan negara itu di mana haiwan terbabit berdepan kebuluran akibat kemarau yang disebabkan perubahan iklim, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik media tempatan pada Isnin.

-Advertisement-

Langkah itu dilakukan selepas Pihak Berkuasa Pengurusan Taman dan Hidupan Liar Zimbabwe (Zimparks) mengumumkan bahawa sekurang-kurangnya 200 ekor gajah telah mati akibat kebuluran di dua lagi taman kerana kekurangan makanan dan air selain berpuluh-puluh ekor kerbau dan antelop, menurut laporan di laman sesawang berita Zimbabwe Mail.

Migrasi besar-besaran yang dirancang adalah bertepatan dengan permulaan hujan musim panas, yang diramalkan berlaku minggu ini, menurut laporan itu.

Negara itu memiliki kira-kira 80,000 ekor gajah namun jumlah keseluruhan telah jatuh mendadak sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terutama akibat pemburuan haram, pencerobohan dan kemarau.

-Advertisement-

Zimbabwe, Afrika Selatan, Botswana dan Namibia gagal melobi Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Membabitkan Spesies Terancam pada Ogos bagi penjualan terkawal stok gading mereka.

Zimbabwe dan negara Afrika lain dengan populasi gajah yang besar ingin membenarkan lebih banyak penjualan gading secara sah bagi membiayai pemuliharaan serta pembangunan komuniti.

Bagaimanapun, 32 lagi negara Afrika percaya bahawa semua perdagangan membabitkan gajah perlu dihentikan.- BERNAMA