Zuraida hanya boleh tampil ke lembaga disiplin 25 Feb, kata setpol

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: Setiausaha politik kepada Zuraida Kamaruddin memaklumkan naib presiden PKR itu hanya akan dapat bertemu lembaga disiplin parti pada 25 Feb ini kerana terikat dengan program-program kerajaan.

-Advertisement-

Nor Hizwan Ahmad menjelaskan Zuraida sudah memberikan komitmen awal pada program-program besar kerajaan persekutuan atas kapasiti menteri perumahan dan kerajaan tempatan dalam tempoh yang beliau dikehendaki tampil menghadapi lembaga disiplin PKR.

Beliau berharap lembaga disiplin akan dapat bersetuju dengan tarikh itu untuk proses berjalan.

“Untuk membatalkan atau menunda kehadiran beliau dalam program-program rasmi kerajaan yang sudah diatur awal, ia akan mengakibatkan implikasi besar dari sudut koordinasi antara agensi dan juga impak kewangan kepada kementerian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Ahmad Kasim memaklumkan pihaknya menolak permohonan Zuraida memohon sesi pendengaran ditangguhkan, selepas beliau menerima surat saman daripada Setiausaha Agung Saifuddin Nasution dan Ketua PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Surat saman itu dipercayai berkaitan dengan kenyataan Zuraida pada satu majlis makan selepas kongres nasional PKR pada Disember.

Kasim berkata sesi pendengaran Zuraida diteruskan kerana saman-saman itu kes sivil dan bukannya kes jenayah.

-Advertisement-

Hizwan hari ini memaklumkan pejabat Zuraida menhubungi pegawai lembaga disiplin berhubung penetapan tarikh baru dan mendakwa dalam perbincangan berkenaan, pegawai terbabit bersetuju dengan tarikh 25 Feb.

Sementara itu, Nor Hizwan turut menyelar kenyataan Ahli Parlimen Tanjong Malim, Chang Lih Kang yang menggesa Zuraida tidak menggunakan kedudukannya dalam mana-mana program cawangan dan bahagian parti sepanjang tempoh beliau bercuti dari semua jawatan parti.

Zuraida memohon untuk bercuti pada 4 Feb lalu sehingga lembaga disiplin PKR selesai menjalankan siasatan, kerana tidak mahu mempengaruhi siasatan terhadapnya.

“Tindakan memberi amaran supaya Zuraida tidak menjalankan sebarang aktiviti atas kapasiti naib presiden sepanjang tempoh cuti tersebut adalah tidak perlu sama sekali,” kata Hizwan.

“Saya menegaskan, komitmen beliau selaku naib presiden dipilih akan terus digerakkan diseluruh negara dan bakal lebih bersemarak,” tambahnya.

Beliau berkata Chang “diam seribu bahasa” apabila 2 naib presiden, Nurul Izzah Anwar dan Rafizi Ramli bercuti “dengan senang lenang” dan “meninggalkan tanggungjawab” tanpa sebarang sebab munasabah. -FMT


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373