103 Calon Sah Bertanding PRN Negeri Sembilan

Estimate Reading Time: < 1 minute

SEREMBAN, 18 Julai 2026 (The Capital Post) – Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 menyaksikan seramai 103 calon disahkan bertanding bagi merebut 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas proses penamaan calon selesai di lapan Pusat Penamaan Calon (PPC) hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan semua 103 kertas pencalonan diterima tanpa sebarang penolakan. Pakatan Harapan (PH) meletakkan calon paling ramai iaitu 36 orang, diikuti Barisan Nasional (BN) 25, BERSATU 24, Perikatan Nasional (PN) 11, manakala BERJASA, ASLI dan PSM masing-masing seorang serta empat calon Bebas.

Sebanyak 21 kerusi menyaksikan pertandingan tiga penjuru, 11 kerusi dua penjuru, manakala dua kerusi masing-masing melibatkan pertandingan empat dan lima penjuru.

Daripada keseluruhan calon, 94 adalah lelaki dan sembilan wanita. Kumpulan umur 40 hingga 49 tahun mencatat jumlah calon tertinggi iaitu 39 orang, diikuti 33 calon berusia 50 hingga 59 tahun.

-Advertisement-

Calon tertua ialah Abd Latif bin A Tambi dari PH yang bertanding di DUN Gemencheh pada usia 70 tahun, manakala calon termuda ialah Leevineshwaraan A/L Murugan dari BERSATU di DUN Sri Tanjung yang berusia 23 tahun.

Tempoh berkempen bermula sebaik sahaja selesai penamaan calon dan berakhir pada jam 11.59 malam, 31 Julai 2026. SPR turut menubuhkan 36 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) bagi memantau perjalanan kempen serta mengingatkan semua calon supaya mematuhi peraturan pilihan raya sepanjang tempoh berkempen. – The Capital Post.