130 bekas sarang telur hasilkan replika Jalur Gemilang

Estimate Reading Time: < 1 minute

GUA MUSANG: Seramai 25 kanak-kanak Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Sri Seroja di Kampung Bertam Baru, di sini, menyiapkan Jalur Gemilang daripada bekas sarang telur sepanjang lebih empat meter bagi menyambut Hari Kebangsaan 2023 kali ini.

-Advertisement-

Guru mereka, Siti Arfah Inche Jaafar, 30, berkata kumpulan kanak-kanak berkenaan mengambil masa hampir dua jam bagi menyiapkan replika bendera kebangsaan itu menggunakan 130 bekas sarang telur sambil dibantu guru.

“Usaha ini turut mendapat kerjasama ibu bapa murid yang membabitkan aktiviti mewarna bekas sarang telur, menyusun dan melekatkannya. Berkat kerjasama ini, kita berjaya menyiapkan replika Jalur Gemilang guna bekas sarang telur dalam tempoh kurang dua jam.

“Kanak-kanak juga gembira apabila mereka turut mewarna dan menyusun bekas sarang telur bersama-sama. Usaha ini diharap dapat menerapkan rasa cintakan negara bermula dari usia kecil,” katanya ketika ditemui.

Katanya, idea menghasilkan replika Jalur Gemilang daripada bekas sarang telur itu untuk mencari kelainan dan memupuk kerjasama antara murid sempena sambutan Bulan Kebangsaan.

Pengerusi Tabika KEMAS Sri Seroja, Naim Sulaiman, berkata setiap tahun, komuniti Kampung Bertam Baru secara suka rela akan terlibat dengan aktiviti kelas prasekolah berkenaan bagi sambutan kemerdekaan negara.

-Advertisement-

“Alhamdulillah di kampung ini, kami mendapat kerjasama sangat baik daripada penduduk yang sanggup datang, bergotong-royong dan terlibat dengan pelbagai aktiviti yang dianjurkan sempena Bulan Kemerdekaan.

“Semangat kerjasama dan patriotisme penduduk sangat kuat, tambahan pula di kampung ini ada tempat bersejarah semasa zaman komunis dan penjajahan Jepun. Ada dua kubu pertahanan semasa zaman Inggeris dan sebuah balai polis dipercayai paling tua di Kelantan,” katanya.

Selain itu, katanya, banyak kisah sejarah peperangan ketika zaman komunis dikait dengan kampung berkenaan, termasuk peristiwa penggawa daerah melarikan diri ke Balai Polis Bertam Baru untuk meminta bantuan disebabkan ancaman pengganas.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373