1,560 anggota polis kawal final Piala Malaysia

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR- Seramai 1,560 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan untuk memastikan kelancaran final Piala Malaysia antara Kedah dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil. di sini, Sabtu ini.

-Advertisement-

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, jumlah itu tidak termasuk 300 marshal yang disediakan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengawal kehadiran anggaran 85,000 penonton yang akan membanjiri stadium berkenaan.

Beliau berkata pihaknya akan memulakan tugas seawal 8 pagi bagi mengawal pergerakan trafik keluar masuk ke kawasan stadium, manakala penugasan kawalan keselamatan akan bermula pada jam 3 petang.

“Saya minta penyokong jangan ambil tindakan sendiri dan timbulkan huru hara, provokasi melampau,sehingga menyebabkan pergaduhan. Penyokong kena bertimbang rasa, bertolak ansur dan sabar, menang atau kalah adat pertandingan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya, pemeriksaan juga akan dilakukan terhadap penyokong di pintu masuk stadium bagi menghalang mereka membawa masuk bahan terlarang seperti mercun, bunga api dan suar, topi keledar serta senjata ke dalam stadium.

-Advertisement-

Mazlan berkata penyokong juga dilarang menggunakan dron di dalam kawasan stadium.

Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak 3,394 lot parkir disediakan di kawasan stadium dan sekiranya ia telah penuh, pihak polis akan membuat penutupan dan lencongan jalan.

“Penyokong tidak boleh letak kereta di bahu jalan, bimbang akan berlaku halangan dan kesesakan lalu lintas. Jika ada yang berdegil, kita akan ambil tindakan tunda dan saman mereka,” katanya.- BERNAMA


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373