2 maut, 5 cedera insiden tembakan di kampus universiti

Estimate Reading Time: < 1 minute

RICHMOND: Dua maut, manakala lima lagi cedera selepas seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan di sebuah taman di Richmond, Virginia ketika graduan sekolah menengah dan keluarga mereka keluar dari teater selepas selesai majlis tamat pengajian.

-Advertisement-

Ketua Polis Interim Richmond, Rick Edwards, berkata polis menahan seorang suspek lelaki berusia 19 tahun dalam insiden tembakan yang berlaku kira-kira jam 5 petang waktu tempatan berhampiran kampus Universiti Komanwel Virginia itu.

“Tembakan itu berlaku di luar Teater Altria di kampus Universiti Komanwel Virginia, tempat upacara tamat pengajian sekolah menengah tempatan diadakan.

“Mangsa yang maut adalah lelaki berusia 18 dan 36 tahun. Antara mangsa tembakan, seorang lelaki berusia 31 tahun yang mengalami cedera parah dan empat lelaki lain berusia 14, 32, 55 dan 58 tahun,” katanya pada sidang akhbar semalam.

Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun turut dilanggar sebuah kereta dalam insiden itu, manakala beberapa individu lain cedera akibat terjatuh.

Leftenan Gabenor Virginia, Winsome Earle-Sears, menegaskan insiden terbabit perlu dihentikan.

“Ia perlu dihentikan, kami tahu di mana ia bermula. Jika saya mempunyai akauntabiliti dan bertanggungjawab insiden ini tidak akan terus berlaku.

-Advertisement-

“Orang yang dipilih di sini perlu bertanggungjawab, mereka perlu mengambil tindakan supaya insiden seperti ini tidak terus berlaku,” katanya kepada wartawan ketika ditemui di kampus itu.

Sementara itu, tiga pegawai yang tidak bertugas dan berada di dalam teater memaklumkan mereka terdengar bunyi tembakan sekitar jam 5.13 petang, sebelum lalu berlari keluar dan melihat terdapat mangsa yang cedera akibat kejadian itu.

Bagaimanapun, polis memaklumkan insiden berkenaan tidak mengakibatkan ancaman berterusan kepada orang ramai.

“Pelbagai kecederaan dilaporkan, namun ia tidak mengancam orang ramai.

“Elakkan berada di kawasan itu,” kata Jabatan Polis Richmond menerusi ciapan Twitter semalam. – AGENSI

– Berita Harian