20 Pasukan IPTA Sertai Pertandingan Debat Piala Ketua Audit Negara 2026

Estimate Reading Time: < 1 minute

NILAI 16 Ogos 2026 (The Capital Post) – Sebanyak 20 pasukan daripada institusi pengajian tinggi awam menyertai Pertandingan Debat Piala Ketua Audit Negara Tahun 2026 yang dianjurkan Jabatan Audit Negara (JAN) dengan kerjasama Parlimen Malaysia, Kementerian Pendidikan Tinggi, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM).

Pusingan awal, suku akhir dan separuh akhir pertandingan tersebut telah berlangsung pada 13 dan 14 Ogos 2026 di Akademi Audit Negara, Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan, dengan penyertaan pasukan daripada pelbagai institusi pengajian tinggi awam.

Pertandingan berkenaan turut menampilkan barisan hakim yang terdiri daripada 10 wakil JAN, MADUM dan DBP bagi menilai keupayaan peserta dari aspek penghujahan, penyampaian serta pemikiran kritis.

Majlis perasmian pertandingan telah disempurnakan oleh Ketua Audit Negara, YBhg. Dato’ Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi, pada 14 Ogos 2026 bertempat di Auditorium Ahmad Noordin, Akademi Audit Negara.

-Advertisement-

Dalam majlis tersebut, beliau turut menyampaikan sijil penyertaan kepada semua peserta selain menyampaikan hadiah kepada sembilan pendebat terbaik yang menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang pertandingan.

Majlis turut menyaksikan pengumuman pasukan yang berjaya mara ke peringkat akhir, sekali gus membuka peluang kepada peserta untuk meneruskan persaingan bagi merebut Piala Ketua Audit Negara Tahun 2026. – The Capital Post