200 bekas tentera Afghanistan terbunuh sejak Taliban berkuasa

Estimate Reading Time: 2 minutes

AFGHANISTAN: Lebih 200 bekas anggota tentera, penguatkuasa undang-undang dan kerajaan Afghanistan terbunuh sejak Taliban mengambil alih, menurut Misi Bantuan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNAMA) di Afghanistan, hari ini.

-Advertisement-

Menurut laporan UNAMA, sekurang-kurangnya 218 pembunuhan di luar undang-undang berkaitan dengan Taliban direkodkan sejak kumpulan itu mentadbir Afghanistan pada pertengahan 2021 hingga Jun.

“Dalam kebanyakan keadaan, individu yang ditahan oleh pasukan keselamatan de facto, selalunya dibunuh,” menurut UNAMA.

Dilaporkan, kira-kira separuh daripada pembunuhan yang direkodkan oleh UNAMA berlaku dalam tempoh empat bulan selepas Taliban mengambil alih, ketika tentera asing yang disokong Amerika Syarikat (AS) berundur, pada Ogos 2021 dan 70 direkodkan pada 2022.

“Bagi majoriti pelanggaran yang dibincangkan dalam laporan ini, terdapat maklumat terhad mengenai langkah yang diambil oleh pihak berkuasa de facto untuk menyiasat kes dan memastikan penjenayah bertanggungjawab.

“Sikap bermaharajalela amat jelas, di mana anggota pihak berkuasa de facto terus melakukan pencabulan hak asasi manusia terhadap bekas pegawai kerajaan dan anggota ANDSF adalah kebimbangan serius,” kata UNAMA, merujuk kepada Pasukan Pertahanan dan Keselamatan Negara Afghanistan (ANDSF) yang lama.

Secara keseluruhan, UNAMA merekodkan 800 kes pencabulan hak asasi manusia yang berkaitan dengan Taliban terhadap bekas kakitangan kerajaan dan tentera termasuk penangkapan sewenang-wenangnya, kehilangan dan penyeksaan.

Sebaliknya, pemimpin kanan Taliban berkata, terdapat pengampunan untuk bekas pegawai kerajaan dan anggota tentera atas perintah pemimpin tertinggi mereka.

-Advertisement-

Kementerian Hal Ehwal Luar pimpinan Taliban berkata, berdasarkan laporan UNAMA, ia tidak menerima laporan mengenai sebarang kes mengingkari perintah itu dan sebarang kes yang berlaku akan disiasat.

Ia menafikan pembunuhan secara sewenang-wenangnya dibenarkan kerajaan atau menyasarkan orang yang berjuang atau bekerja untuk bekas kerajaan yang disokong negara asing.

“Pemimpin tertinggi sudah mengeluarkan perintah pengampunan dan satu lagi perintah menentang penyeksaan atau layanan buruk terhadap orang yang berada dalam tahanan.

“Tiada kakitangan tentera pentadbiran terdahulu ditangkap, ditahan atau diseksa kerana aktivitinya dalam institusi keselamatan.

“Pekerja pentadbiran terdahulu yang menyertai kumpulan pembangkang Emiriah Islam (pentadbiran Taliban) atau mempunyai aktiviti ketenteraan yang menjejaskan sistem, ditangkap dan dihadapkan kepada pihak berkuasa kehakiman,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh PBB dengan laporannya.
– REUTERS

– BH