26,701 kes baharu COVID-19 semalam

Estimate Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA: Malaysia merekodkan sebanyak 26,701 kes baharu penularan COVID-19 semalam menjadikan jumlah keseluruhan individu dijangkiti virus berkenaan kini meningkat kepada 3,138,215 kes.

-Advertisement-

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata jumlah yang direkodkan itu membabitkan 26,569 kes tempatan dengan 132 kes lagi adalah import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Mengulas mengenai kes yang dilaporkan semalam, Dr Noor Hisham memaklumkan sebanyak 99.56 peratus bersamaan 26,583 kes adalah pesakit COVID-19 dalam kategori satu dan dua iaitu tidak mempunyai gejala dan bergejala ringan.

“Pecahan daripada jumlah yang dinyatakan itu, sebanyak 76.70 peratus iaitu 20,480 kes adalah pesakit COVID-19 dalam kategori dua dengan 6,103 kes (22.86 peratus) adalah pesakit kategori satu.

“Selebihnya, bagi kategori tiga terdapat 77 kes (0.29 peratus), kategori empat dengan 19 kes (0.07 peratus) serta bagi kategori lima adalah seramai 22 kes (0.08 peratus),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Daripada jumlah keseluruhan 118 kes bagi pesakit kategori tiga hingga lima, 22 kes iaitu 18.6 peratus belum divaksinasi atau belum lengkap mendapatkan pelalian berkenaan.

“Selain itu 71 kes sudah menerima dua dos vaksin namun kumpulan ini berisiko kerana berkemungkinan imuniti COVID-19 sudah menurun. Sebanyak 25 kes sudah menerima dos penggalak, berumur 60 tahun ke atas (53 kes), mempunyai komorbid (49 kes), ibu mengandung (4 kes) dan meninggal dunia (10 kes),” katanya.

-Advertisement-

Mengulas mengenai pertambahan 19 kluster baharu di negara ini, Dr Noor Hisham berkata ia menjadikan hingga kini terdapat 481 kluster yang masih aktif di negara ini. Perkembangan itu secara keseluruhannya menjadikan hingga kini sebanyak 6,195 kluster sudah direkodkan di negara ini sejak wabak berkenaan dikesan.

Dalam pada itu, bagi kes yang kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), hingga kini terdapat sejumlah 216 kes iaitu 98 daripadanya disahkan dijangkiti COVID-19 dengan 118 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

“Bagi pesakit dalam ICU dan memerlukan alat bantuan pernafasan, setakat ini terdapat seramai 141 kes iaitu 55 kes disahkan COVID-19 serta 86 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan,” katanya.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan, semalam terdapat 11,744 kes sembuh direkodkan sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih sepenuhnya daripada virus berkenaan adalah sebanyak 2,888,194 kes.

-BH