3 bulan untuk sekolah baiki tandas, KPM salur RM70,000

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) memberi tempoh tiga bulan kepada setiap sekolah untuk menyelesaikan kerja penyelenggaraan tandas sekolah demi keselesaan pelajar.

-Advertisement-

Menteri, Fadhlina Sidek, berkata ketika ini pihaknya dalam proses mengagihkan peruntukan RM70,000 kepada setiap sekolah di seluruh negara.

“Kita akan berikan peruntukan penyelenggaraan kepada semua sekolah di bawah KPM akan menerima kira-kira RM70,000 untuk penyelenggaraan.

“Kami hanya beri tiga bulan sahaja untuk semua sekolah melaksanakan program ini dan mahu melihat hasil dan impak kepada (kerja) menaik taraf tandas sekolah,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Digital Utilisation and Technology Awards (DUTA) 2002 di Auditorium Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Bukit Kiara hari ini.

Pada majlis itu, bagi Anugerah Pendidikan Digital, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis dinobatkan sebagai JPN Terbaik manakala Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Terbaik adalah PPD Bintulu, Sarawak.

Tiga sekolah dinobatkan sebagai Sekolah Menengah Terbaik dalam Kategori Khas iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Kerian, Kelantan; SMK Bintulu dan SMK Agama (Perempuan) Alawiyah, Perlis manakala Sekolah Rendah Terbaik bagi Kategori Khas adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Wan Kemara, Kedah.

Terdahulu Fadhlina berkata, DUTA adalah usaha KPM dalam memberikan penghargaan dan pengiktirafan yang tertinggi kepada murid, guru, sekolah, PPD dan JPN di atas pemerkasaan penggunaan teknologi secara inovatif, kreatif dan beretika dalam pengajaran dan pembelajaran selain melahirkan generasi fasih digital yang berdaya saing.

Justeru katanya, pembangunan bakat dan modal insan dalam ekonomi digital memerlukan persiapan generasi murid yang fasih dalam bidang itu yang pada masa sama berupaya menghadapi apa juga cabaran.

-Advertisement-

“Oleh yang demikian, budaya inovasi dalam kalangan murid perlu dipupuk supaya mereka bersedia untuk mendepani perubahan sejajar dengan perkembangan teknologi global dan usaha memperkasakan teras ketujuh KPM,” katanya.

Mengulas mengenai Dasar Pendidikan Digital, beliau berkata dasar itu juga sudah dipersetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan akan dilaksanakan segera.

Katanya, terdapat beberapa teras penting dalam dasar itu yang berkaitan dengan digital dan apa paling penting adalah meningkatkan infrastrukturnya terlebih dahulu.

“Maka tumpuan kita sekarang adalah memperbaiki infrastruktur dan ekosistem digital seluruh sekolah dan oleh sebab itu juga kita akan bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKOM) untuk memastikan ia lebih kukuh.

“KPM juga telah menjalankan beberapa program khusus untuk mengangkat dan memperkemaskan sistem digital di sekolah dan kita berharap ia adalah usaha berterusan utk memastikan tidak ada sekolah yang terpinggir daripada digital.

“Program ini juga sudah bermula dan sebanyak 3,600 sekolah sudah mendapat manfaat daripada program Point of Presence (PoP) oleh KKOM,” katanya.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373