608 lokasi berisiko banjir di Sabah dikenal pasti

Estimate Reading Time: < 1 minute

KOTA KINABALU: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah mengenal pasti 608 lokasi berisiko banjir di Sabah yang akan diberi perhatian sepanjang musim tengkujuh Monsun Timur Laut yang dijangka bermula pada November hingga Mac tahun depan.

-Advertisement-

Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong, berkata sebagai persediaan awal, jawatankuasa itu sudah membuat persiapan dalam pelbagai aspek untuk menghadapi bencana berkenaan, termasuk anggota dan logistik.

Beliau berkata, jawatankuasa berkenaan juga menyediakan sebanyak 75 lokasi pendaratan helikopter bagi memudahkan urusan pemindahan mangsa dan penghantaran bantuan di kawasan yang sukar diakses melalui jalan darat.

“Kerajaan negeri sudah bersiap sedia menghadapi Monsun Timur Laut dengan kekuatan seramai 8,432 pegawai dan anggota pelbagai agensi, diikuti sebanyak 928 pengangkutan darat, 206 pengangkutan air dan lapan logistik udara yang akan digerakkan apabila berlaku bencana.

“Kerajaan negeri juga sudah mengarahkan semua Pegawai Daerah selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah sentiasa bersiap sedia dan hendaklah mengaktifkan Bilik Gerakan Bencana di semua daerah pada bila-bila masa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

-Advertisement-

Kelmarin, kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah bermesyuarat bagi membincangkan persediaan menghadapi Monsun Timur Laut di negeri ini.

Safar berkata, kerajaan negeri sentiasa memantau isu berkaitan dan mengambil langkah sewajarnya bersama jabatan dan agensi yang terbabit bagi memastikan jentera pengurusan bencana di semua peringkat berjalan lancar.

Kehadiran Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh di Sabah sering menyebabkan banjir di kawasan rendah seperti di daerah Beaufort, Tenom, Membakut, Kota Marudu, Pitas dan Kota Belud.

Selain menjejaskan ribuan penduduk di berpuluh kampung, banjir di negeri ini juga menyebabkan banyak laluan utama terputus, terutama yang berhampiran sungai hingga menimbulkan masalah perhubungan.– Berita Harian