Tangguh pelaksanaan Akta Kerja, majikan perlukan masa selesaikan isu kekurangan pekerja – Saravanan

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Penangguhan pelaksanaan Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 dari 1 Sept depan kepada 1 Jan 2023 bertujuan memberi ruang kepada majikan untuk menyelesaikan isu berkaitan kekurangan tenaga buruh dan pengambilan pekerja asing, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M.Saravanan.

-Advertisement-

Beliau berkata penangguhan ini dibuat setelah mempertimbangkan permintaan pihak majikan yang berdepan masalah kekurangan tenaga buruh selain kebanyakan pekerja asing mula masuk mulai Ogos.

“Jadi majikan perlukan masa dan permintaan mereka adalah rasional,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ke-23 (COSH 2022) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan beberapa pihak yang mempersoalkan langkah kerajaan menangguhkan penguatkuasaan Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022.

Pindaan akta itu antara lain melibatkan pengurangan tempoh waktu bekerja daripada 48 jam ke 45 jam seminggu, penambahan cuti bersalin daripada 60 hari kepada 98 hari dan cuti paterniti dinaikkan daripada tiga hari kepada tujuh hari.

Dalam pada itu, Saravanan berkata beliau telah berbincang dengan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengenai penangguhan pelaksanaan Akta Kerja 1955 dan kerajaan menilai pandangan semua pihak sebelum membuat keputusan.

-Advertisement-

Beliau juga memaklumkan seramai 47,000 pekerja asing memasuki negara setakat ini, dengan hampir 19,000 daripadanya merupakan warganegara Nepal.

Sementara itu, Saravanan menyangkal dakwaan kononnya wujud isu kos pengambilan pekerja asing terlalu tinggi, sebaliknya beliau berkata ia adalah ‘sifar kos’ dan menjelaskan bahawa mana-mana majikan yang membawa masuk pekerja asing hanya perlu menanggung kos penginapan dan penerbangan.

Menurutnya Kementerian Sumber Manusia juga tidak menerima sebarang aduan mengenai kos pengambilan pekerja asing setakat ini.

Beliau juga menasihati majikan di seluruh negara yang telah membayar levi pekerja asing mereka agar menyerahkan dokumen berkaitan kepada duta negara pekerja asing berkenaan untuk tindakan lanjut.

COSH 2022 bertemakan ‘Bertekad menghadapi cabaran terkini’, berlangsung dua hari bermula hari ini melibatkan lebih 1,300 peserta tempatan dan luar negara.– Astro Awani


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5279