50 Organisasi Diiktiraf Menerusi Anugerah Tenaga Kebangsaan 2026

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 12 Ogos 2026 (The Capital Post) – Sebanyak 50 organisasi menerima pengiktirafan menerusi Majlis Anugerah Tenaga Kebangsaan (National Energy Awards – NEA) 2026 sebagai penghargaan terhadap pencapaian cemerlang dalam kepimpinan, inovasi serta pelaksanaan amalan tenaga mampan di Malaysia.

Majlis berprestij yang berlangsung di Hotel Grand Hyatt Kuala Lumpur pada 11 Ogos 2026 itu dianjurkan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menerusi Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA Malaysia) dan Suruhanjaya Tenaga.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Timbalan Menteri PETRA, YB Dato’ Sri Haji Abdul Rahman bin Haji Mohamad, dan turut dihadiri Pengerusi SEDA Malaysia, YBhg. Tan Sri Dr. Wan Ahmad Dahlan Haji Abdul Aziz; Ketua Setiausaha PETRA, YBhg. Dato’ Sri Haji Mad Zaidi bin Mohd Karli; Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga) PETRA, YBrs. Puan Mareena binti Mahpudz; serta Ketua Pegawai Eksekutif SEDA Malaysia, YBhg. Dato’ Hamzah bin Hussin.

Sejak diperkenalkan pada 2018, NEA terus menjadi antara platform penting dalam mengiktiraf usaha organisasi tempatan yang menerajui inovasi serta kecemerlangan dalam penggunaan dan pengurusan tenaga secara mampan.

Penganjuran edisi 2026 turut mencatat perkembangan positif apabila buat pertama kalinya semua subkategori Tenaga Boleh Baharu (TBB) menerima penyertaan daripada pemain industri. Perkembangan tersebut mencerminkan peningkatan kematangan ekosistem tenaga bersih negara serta keyakinan sektor swasta terhadap potensi penyelesaian tenaga boleh baharu di Malaysia.

-Advertisement-

Pengiktirafan yang diberikan kepada organisasi terlibat diharap dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif inovatif dalam sektor tenaga, selain menggalakkan penglibatan industri dalam menyokong peralihan kepada ekonomi hijau.

Penganjuran NEA 2026 turut memperlihatkan komitmen berterusan kerajaan dalam menggalakkan amalan tenaga mampan serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai antara peneraju ekonomi hijau di rantau ini.

Kejayaan para penerima diharap dapat menjadi inspirasi kepada lebih banyak organisasi untuk meneroka penyelesaian tenaga bersih, meningkatkan kecekapan tenaga dan bersama-sama membentuk masa depan Malaysia yang lebih berdaya tahan serta mampan. – The Capital Post