84 peratus rakyat Malaysia keluarkan simpanan tiap hujung bulan, tampung belanja harian

Estimate Reading Time: 2 minutes

SUNGAI BULOH: Sebanyak 84 peratus rakyat negara ini didapati hanya membuat simpanan jangka pendek dan mengeluarkan semula simpanan pada hujung bulan bagi menampung perbelanjaan harian.

-Advertisement-

Seramai 52 peratus rakyat Malaysia juga didapati sukar untuk mengetepikan RM1,000 untuk kegunaan kecemasan, manakala 76 peratus rakyat Malaysia mempunyai belanjawan, tetapi tidak semua benar-benar mematuhi belanjawan itu.

Dapatan itu adalah hasil kaji selidik dilakukan Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN).

Pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir, berkata KWSP adalah ahli kepada FEN, yang mengendalikan kajian itu menerusi data Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019 hingga 2023.

“Mengikut data itu, sebanyak 84 peratus rakyat Malaysia mengakui, mereka menyimpan secara tetap hanya untuk jangka pendek sahaja.

“Lazimnya, simpanan itu akan dikeluarkan semula pada hujung bulan untuk menampung perbelanjaan harian,” katanya pada Majlis Pelancaran dan Aplikasi Belanjawanku 2022/2023 di Menara KWSP, Kwasa Damansara, di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli serta Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Mengulas inisiatif Belanjawanku, Ahmad Badri berkata, aplikasi itu yang dibangunkan KWSP dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC) Universiti Malaya sejak 2019.

Beliau berkata, ia menyediakan anggaran perbelanjaan bulanan minimum untuk pelbagai jenis barangan dan perkhidmatan mengikut kadar isi rumah berbeza, sekali gus membantu rakyat merancang kewangan dan perbelanjaan lebih berhemah.

-Advertisement-

“Sebagai projek rintis, panduan ini pada mulanya dibangunkan pada 2019 untuk pengguna di Lembah Klang sahaja.

“Kini, panduan Belanjawanku diperluaskan lagi untuk kegunaan pengguna di 11 kawasan utama di seluruh negara seperti Johor Bahru, Alor Setar dan Kuching.

“Sehingga Mei lalu, aplikasi Belanjawanku merekodkan 12,000 jumlah muat turun,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SWRC, Profesor Datuk Dr Norma Mansor, berkata tahap celik kewangan rendah dan peningkatan kos sara hidup menjadi penyebab utama rakyat Malaysia mempunyai simpanan rendah, hutang tinggi serta isu bankrap dalam kalangan belia.

“Di sinilah, aplikasi Belanjawanku memainkan peranan sebagai panduan untuk perancangan kewangan dan pengurusan hutang individu serta pada masa sama, mengesyorkan jumlah simpanan untuk kegunaan masa depan.

“Pembuat dasar juga boleh menggunakan Belanjawanku sebagai penanda aras dalam menangani isu kos sara hidup, pariti kuasa beli dan membasmi kemiskinan,” katanya.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373