KUALA LUMPUR: Urus niaga ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pagi ini kerana kekurangan pemangkin di dalam negara.
-Advertisement-
Pada jam 9.14 pagi, unit tempatan menyusut kepada 4.2235/2265 berbanding penutupan urus niaga Jumaat pada paras 4.2190/2220.
Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim berpendapat ringgit akan terus diniagakan melepasi 4.20 hari ini di tengah-tengah meningkatnya kes COVID-19 di dalam negara meskipun kadar vaksinasi semakin menggalakkan.
“Selain itu, kurangnya pemangkin baharu di pasaran untuk hala tuju seterusnya akan menyebabkan tekanan menurun terhadap ringgit,” kata beliau.
-Advertisement-
Sementara itu, unit tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama yang lain.
Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1186/1210 daripada penutupan Jumaat 3.1189/1216 dan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.8698/8740 daripada 5.8935/8977.
Bagaimanapun, unit tempatan itu lemah berbanding euro kepada 5.0120/0156 daripada 5.0181/0216, dan menyusut berbanding yen Jepun kepada 3.8511/8542 daripada 3.8502/8529.
– Bernama -BH