KUALA LUMPUR: Status pelaksanaan Undi 18 dan langkah yang akan diambil kerajaan untuk melaksanakannya antara isu yang bakal dikupas pada persidangan Parlimen hari ini.
-Advertisement-
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat persidangan Dewan Rakyat, perkara itu terkandung semasa sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan yang akan diajukan oleh Gobind Singh Deo (PH-Puchong) kepada Perdana Menteri.
Pada sesi soal jawab lisan itu juga, Datuk Zakaria Mohd Edris (BERSATU- Libaran) meminta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi untuk menyatakan jumlah perbelanjaan yang dibelanjakan untuk program vaksinasi di seluruh negara mengikut Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Sementara itu, Cha Kee Chin (PH-Rasah) pada sesi Pertanyaan Menteri akan meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk menyatakan sama ada kementerian akan menurunkan harga maksimum Kit Ujian Kendiri COVID-19 secara berperingkat daripada harga siling RM19.90 yang ditetapkan ketika ini.
-Advertisement-
Persidangan Dewan Rakyat hari ini juga akan menyambung semula perbahasan Titah Diraja.
Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 adalah sidang Parlimen yang pertama di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung selama 17 hari hingga 12 Oktober. – BERNAMA -BH