SEOUL: Sebuah mahkamah di Korea Selatan dijangka memberi keputusan hukuman terhadap bekas Presiden, Yoon Suk Yeol, sama ada beliau wajar dijatuhi hukuman mati susulan percubaannya yang gagal untuk melaksanakan pemerintahan tentera.
Sebelum ini, Suk Yeol mengisytiharkan darurat tentera secara mengejut menerusi ucapan di televisyen pada Disember 2024 dengan mendakwa langkah drastik diperlukan bagi membanteras kuasa anti-negara.
Suk Yeol, 65, kemudiannya dipecat, ditahan dan didakwa atas pelbagai kesalahan, termasuk pemberontakan dan menghalang proses keadilan.
Pendakwa raya menuntut hukuman paling berat bagi pertuduhan pemberontakan itu dan menggesa Mahkamah Daerah Pusat Seoul menjatuhkan hukuman mati terhadap Suk Yeol ketika prosiding pada Januari lalu.
Korea Selatan melaksanakan moratorium tidak rasmi terhadap hukuman mati dan kali terakhir banduan dihukum mati adalah pada 1997 dengan hukuman mati secara praktiknya membawa kepada pemenjaraan seumur hidup.
Selepas sekian lama dilihat sebagai contoh demokrasi stabil di Asia, percubaan Suk Yeol untuk merampas kuasa mengimbau kenangan pahit rampasan kuasa tentera yang menggoncang negara itu antara 1960 hingga 1980.
Jutaan rakyat Korea Selatan dijangka memberi tumpuan penuh apabila mahkamah menyampaikan keputusan yang akan disiarkan secara langsung pada jam 3 petang waktu tempatan.
-Advertisement-
Suk Yeol kini ditahan dalam kurungan bersendirian serta berdepan beberapa perbicaraan jenayah.
Beliau secara konsisten menafikan sebarang salah laku, dengan mendakwa tindakannya itu bertujuan melindungi kebebasan dan memulihkan ketertiban perlembagaan daripada apa yang disifatkannya sebagai kediktatoran legislatif yang diterajui pembangkang.
Pendakwa raya pula menuduhnya mengetuai satu pemberontakan yang didorong nafsu kuasa ke arah pemerintahan diktator dan kekuasaan jangka panjang.
Mengikut undang-undang Korea Selatan, hanya dua hukuman diperuntukkan bagi kesalahan pemberontakan, iaitu penjara seumur hidup atau hukuman mati.
-BeritaHarian