Malaysia perkukuh peranan AI serantau di Singapura

Estimate Reading Time: < 1 minute

SINGAPORE 25 Mei 2026 (The Capital Post) – Penyertaan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dalam AI Summit Singapore 2026 yang berlangsung di Singapore Expo menonjolkan komitmen negara dalam memperkukuh pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta infrastruktur digital di peringkat serantau dan global.

Persidangan tersebut menghimpunkan tokoh teknologi, pelabur serta pemain industri antarabangsa bagi membincangkan penggunaan AI secara praktikal dalam sektor perniagaan, perkhidmatan awan (cloud) dan pembangunan infrastruktur digital bandar pintar.

Mewakili MDEC, Ir. Wan Murdani Wan Mohamad, Naib Presiden Bahagian Digital Adoption, telah menyertai sesi perbincangan panel bertajuk “AI at City Scale” bersama beberapa pakar industri dari Singapura dan Korea Selatan, yang turut membincangkan perkembangan ekosistem digital global dan aplikasi AI dalam operasi bandar moden.

Dalam sesi berkenaan, beliau menekankan bahawa kesiapsiagaan infrastruktur digital seperti rangkaian sambungan berkelajuan tinggi, ekosistem cloud yang mantap serta kapasiti pusat data yang mencukupi merupakan elemen asas bagi membolehkan penggunaan AI berkembang secara mampan di kawasan bandar.

-Advertisement-

Perbincangan turut menumpukan kepada kepentingan kerjasama serantau ASEAN melalui rangka kerja seperti garis panduan pembangunan pusat data lestari serta kerangka kerja cloud rentas sempadan, yang bertujuan memperkukuh kesiapsiagaan digital negara-negara anggota dalam menghadapi era AI.

Penyertaan ini mencerminkan usaha berterusan MDEC dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab digital utama di rantau ini serta mempercepat transformasi ke arah ekonomi berasaskan teknologi pintar – The Capital Post