SHAH ALAM, 28 Mei 2026 (The Capital Post) – Kerajaan Negeri Selangor menyambut baik pemakluman Menteri Kesihatan Malaysia, YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, berhubung persetujuan lokasi tapak yang dicadangkan bagi pembinaan Hospital Awam Petaling Jaya.
Keputusan tersebut merupakan hasil daripada mesyuarat penyelarasan pada 14 Mei 2026 yang melibatkan agensi Persekutuan, Kerajaan Negeri serta pihak berkuasa tempatan, sekali gus mencerminkan kerjasama berterusan antara semua pihak dalam memperkukuh sistem kesihatan awam negara.
Kerajaan Negeri memaklumkan bahawa usaha mengenal pasti tapak hospital berkenaan telah digerakkan secara aktif sejak 2018, selaras dengan peningkatan populasi di Daerah Petaling yang kini mencecah kira-kira 2.3 juta penduduk, termasuk lebih 800,000 di kawasan Petaling Jaya.
Ketika ini, penduduk sekitar bergantung kepada beberapa fasiliti kesihatan utama termasuk Hospital Sungai Buloh, Hospital Shah Alam serta Pusat Perubatan Universiti Malaya yang diuruskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi.
Dalam pada itu, beberapa hospital baharu turut dibangunkan seperti Hospital Cyberjaya dan Hospital Tanjong Karang yang telah siap pada 2022, manakala Hospital Kapar yang berkapasiti 312 katil dijangka siap menjelang hujung tahun ini bagi mengurangkan kesesakan hospital sedia ada.
-Advertisement-
Kerajaan Negeri turut memaklumkan bahawa lokasi yang dipersetujui untuk Hospital Petaling Jaya adalah strategik dari segi akses, kos serta kesesuaian pembangunan, selain membolehkan pembinaan hospital berkapasiti 500 katil secara menegak seperti konsep Hospital Ampang.
Lawatan tapak bersama Kementerian Kesihatan Malaysia, agensi negeri dan pihak berkuasa tempatan dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat bagi memperincikan pelaksanaan projek tersebut.
Kerajaan Negeri Selangor menegaskan komitmen untuk terus memudah cara proses berkaitan tanah bagi memastikan pembinaan hospital berkenaan dapat dilaksanakan dengan lancar demi manfaat penduduk sekitar Petaling Jaya, Subang Jaya dan Puchong. – The Capital Post