KUALA LUMPUR 19 Jun 2026 (The Capital Post) – Kementerian Kerja Raya (KKR) terus memperkukuh agenda pembaharuan perkhidmatan awam menerusi penganjuran Program Bicara Kepimpinan Siri 1/2026 bertajuk “ARPA dan Peranan Kita” yang memberi tumpuan kepada pelaksanaan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA).
Sesi perkongsian tersebut telah disampaikan secara eksklusif oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KKR, Datuk Zainal Alhakab Seman, yang menghuraikan secara menyeluruh tentang intipati serta hala tuju pelaksanaan ARPA dalam mempertingkatkan kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan awam.
Program yang berlangsung di Kuala Lumpur itu telah dihadiri seramai 80 pegawai Kementerian Kerja Raya yang mengambil peluang untuk memahami dengan lebih mendalam peranan masing-masing dalam menterjemahkan agenda reformasi tersebut ke dalam tugasan harian.
Sepanjang sesi berkenaan, penekanan turut diberikan kepada kepentingan penglibatan menyeluruh warga kementerian tanpa mengira gred atau jawatan dalam memastikan setiap inisiatif di bawah ARPA dapat dilaksanakan secara berkesan dan menyeluruh.
-Advertisement-
Program ini juga menjadi platform penting dalam memperkukuh budaya kerja berprestasi tinggi serta meningkatkan kefahaman terhadap transformasi perkhidmatan awam yang sedang dilaksanakan di peringkat kementerian.
KKR berharap inisiatif seumpama ini dapat memperjelas pelaksanaan ARPA serta memperkukuh komitmen warga kerja dalam menyokong agenda reformasi sektor awam negara ke arah perkhidmatan yang lebih cekap, responsif dan berintegriti. – The Capital Post