PUTRAJAYA 30 Jun 2026, (The Capital Post) – Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin HamidI, menyeru warga Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) agar mengubah pendekatan kerja daripada budaya pematuhan kepada budaya berteraskan impak dalam usaha memperkukuh keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat luar bandar.
Seruan itu disampaikan ketika beliau menyempurnakan Majlis Perkhidmatan Cemerlang dan Apresiasi KKDW Tahun 2025 yang bertujuan mengiktiraf kecemerlangan warga kerja kementerian atas komitmen, dedikasi serta pencapaian dalam melaksanakan amanah masing-masing.
Menurut beliau, perubahan budaya kerja tersebut penting bagi memastikan setiap dasar dan pelaksanaan program kerajaan benar-benar memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat, khususnya komuniti luar bandar yang menjadi fokus utama pembangunan negara.
Majlis berkenaan turut menyaksikan pengiktirafan kepada 107 warga KKDW, merangkumi seorang penerima Pingat Perkhidmatan Cemerlang (PPC), 89 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), serta 17 pesara yang diraikan atas jasa dan sumbangan mereka sepanjang perkhidmatan dalam sektor awam.
-Advertisement-
Penganjuran majlis ini selari dengan tema “Memacu Transformasi, Menjulang Prestasi” yang menjadi simbol penghargaan terhadap warga kerja KKDW yang terus berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan dan menyokong agenda pembangunan negara secara menyeluruh.
Kerajaan berharap pengiktirafan ini akan terus menjadi pemangkin motivasi kepada warga KKDW untuk memperkukuh prestasi kerja serta mempertingkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan demi kesejahteraan rakyat. – The Capital Post