PUTRAJAYA 30 Jun 2026, (The Capital Post) – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) terus memperkukuh agenda reformasi perkhidmatan awam menerusi Majlis Pengiktirafan Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian signifikan dalam mempercepatkan proses pentadbiran dan meningkatkan kecekapan sistem penyampaian kerajaan.
Program tersebut menampilkan kejayaan pelaksanaan Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) di peringkat nasional yang melibatkan sebanyak 425 projek siap dilaksanakan, dengan anggaran penjimatan kos pematuhan mencecah RM2.91 bilion, sekali gus mencerminkan keberkesanan usaha penambahbaikan sistem pentadbiran awam.
Majlis berkenaan turut disertai YBrs. Puan Mareena binti Mahpudz yang hadir mewakili kepimpinan kementerian dalam menyokong usaha memperkukuh agenda reformasi sektor awam melalui pendekatan lebih cekap, telus dan berimpak tinggi.
PETRA menegaskan komitmen berterusan dalam menyokong Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) dengan menyemak semula prosedur dan peraturan sedia ada bagi mengurangkan beban birokrasi kepada rakyat serta komuniti perniagaan, di samping meningkatkan produktiviti penyampaian perkhidmatan kerajaan.
-Advertisement-
Antara pencapaian utama yang diketengahkan termasuk inisiatif di bawah Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia yang berjaya mempercepatkan tempoh kelulusan penetapan Tarikh Permulaan Kuat Kuasa Tarif Galakan (FiTCD) daripada 60 hari kepada hanya 7 hari, serta mempercepatkan proses pendaftaran dan pembaharuan Registered PV Investor (RPVI) daripada 60 hari kepada 14 hari.
Usaha berterusan ini dijangka memperkukuh ekosistem peralihan tenaga negara serta menyokong transformasi sektor air secara lebih mampan, selaras dengan aspirasi Malaysia ke arah sistem pentadbiran yang lebih efisien dan mesra rakyat. – The Capital Post