Wellness Hub Langkawi Perkukuh Gaya Hidup Sihat

Estimate Reading Time: 2 minutes

LANGKAWI 6 Julai 2026 (The Capital Post) – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus memperkukuh agenda kesihatan awam berasaskan pencegahan apabila Wellness Hub Langkawi dirasmikan secara rasmi oleh Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, sempena Hari Terbuka Wellness Hub Langkawi hari ini.

Perasmian tersebut menandakan pencapaian penting bagi negeri Kedah yang kini mempunyai empat Wellness Hub beroperasi di Langkawi, Kota Setar, Kuala Muda dan Kulim, sekali gus memperluas akses rakyat kepada perkhidmatan intervensi kesihatan berfokuskan gaya hidup sihat.

Menurut KKM, pendekatan yang digunakan di Wellness Hub adalah berteraskan Behavioural Insights (BI) serta pemerkasaan literasi kesihatan, dengan tujuan membantu rakyat mengubah tingkah laku secara lebih berkesan melalui intervensi bersasar dan berstruktur.

Berdasarkan data tahun 2020 hingga 2025, seramai 1,660,488 klien telah menerima manfaat daripada pelbagai pakej perkhidmatan yang ditawarkan di Wellness Hub seluruh negara. Daripada jumlah itu, program Intervensi Pengurusan Berat Badan (IFitEr) mencatatkan kadar kejayaan tinggi apabila 75 peratus peserta berjaya menurunkan berat badan, manakala 76 peratus menunjukkan peningkatan tahap kecergasan selepas enam bulan intervensi.

Dalam usaha mengurangkan tabiat merokok, KKM turut memaklumkan bahawa lebih separuh daripada peserta yang menyertai program berhenti merokok telah berjaya meninggalkan tabiat tersebut, sekali gus membuktikan keberkesanan pendekatan intervensi yang dilaksanakan.

-Advertisement-

Bagi tempoh Januari hingga Mei 2026, sebanyak 335,930 klien telah hadir ke Wellness Hub di seluruh negara, termasuk 9,326 klien dari Kedah dan 2,017 daripadanya merupakan pengguna di Wellness Hub Langkawi.

Selain majlis perasmian, Menteri Kesihatan turut mengadakan sesi lawatan ke fasiliti berkenaan serta menyampaikan Sijil Penghargaan Rakan Strategik dan hadiah kepada pemenang Program IFitEr 2025. Beliau juga menyempurnakan pelepasan acara ‘Fun Walk Langkah Mahsuri’ yang disertai lebih 500 peserta terdiri daripada penduduk tempatan dan pelancong dengan tema pakaian tradisional.

Kementerian Kesihatan menegaskan bahawa usaha memperluas Wellness Hub akan diteruskan bagi memperkukuh budaya hidup sihat dalam kalangan rakyat serta mengurangkan beban penyakit tidak berjangkit melalui pendekatan pencegahan yang lebih berkesan. – The Capital Post