SEMENYIH 17 Julai 2026 (The Capital Post) – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan seorang lelaki warga Bangladesh berstatus Pemastautin Tetap (MyPR) yang disyaki terlibat dalam kegiatan membekalkan pekerja asing tanpa kebenaran menerusi satu Operasi Khas yang dijalankan di dua lokasi sekitar Semenyih, Selangor.
Operasi yang bermula pada jam 12.20 tengah hari itu dilaksanakan oleh sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya selepas risikan dijalankan selama kira-kira sebulan di beberapa premis perniagaan dan premis makanan.
Hasil serbuan, pihak berkuasa menahan tujuh individu terdiri daripada lima warga Bangladesh dan seorang wanita warga Thailand selain lelaki Bangladesh yang dipercayai bertindak sebagai pemilik syarikat serta majikan. Kesemua individu yang ditahan berusia antara 27 hingga 57 tahun.
Semakan awal mendapati suspek utama memiliki status MyPR, manakala seorang lagi warga Bangladesh memegang Pas Pelajar dan seorang wanita warga Thailand memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara sebagai pekerja restoran. Individu warga asing yang lain pula didapati tidak memiliki pas atau dokumen perjalanan yang sah untuk berada di Malaysia.
Dalam operasi sama, JIM turut menyita 31 pasport Bangladesh, sebuah pasport Thailand, salinan dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta wang tunai berjumlah RM48,524 yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan tersebut.
-Advertisement-
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai mengurus dan membekalkan pekerja asing tanpa kelulusan sah kepada majikan tempatan, khususnya di sekitar Lembah Klang. Kegiatan itu dipercayai berselindung di sebalik operasi premis perniagaan dan premis makanan bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa, selain mengenakan bayaran sehingga RM4,000 bagi setiap urusan pengurusan dan pembaharuan pas pekerja.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 terhadap suspek utama. Seorang lelaki warga Bangladesh serta seorang wanita warga Thailand turut disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, manakala warga asing lain disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. Kesemua mereka dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut, manakala lima lagi individu telah diberikan notis hadir bagi membantu siasatan.
Jabatan Imigresen Malaysia menegaskan akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam sentiasa terpelihara. – The Capital Post