KPPV Tinjau Kemajuan Projek Tenusu Jemaluang Dairy Valley

Estimate Reading Time: < 1 minute

MERSING 17 Julai 2026 (The Capital Post) – Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar (KPPV), YBhg. Datuk Dr. Mohd Noor Hisham Mohd Haron mengadakan lawatan kerja ke Jemaluang Dairy Valley, Mersing bagi meninjau perkembangan projek penternakan tenusu berskala besar yang menjadi antara usaha strategik memperkukuh industri tenusu negara.

Lawatan tersebut disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Jemaluang Dairy Valley Sdn. Bhd., Encik Qasem Walid Alhassan serta dihadiri barisan pegawai kanan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dari Putrajaya dan Johor.

Antara yang turut serta ialah Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar (Pembangunan), YBrs. Dr. Saifullizam Abd. Kadir, Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Industri Ternakan, YBrs. Dr. Zulkifli Ishak, serta pegawai kanan lain daripada bahagian berkaitan dan DVS Negeri Johor.

Lawatan berkenaan menjadi ruang untuk menilai kemajuan pelaksanaan projek, bertukar pandangan serta memperkukuh kerjasama antara Jabatan Perkhidmatan Veterinar, kerajaan negeri dan pihak industri dalam membangunkan sektor tenusu yang lebih mampan, kompetitif dan berteraskan teknologi moden.

-Advertisement-

Jemaluang Dairy Valley merupakan antara projek penting dalam menyokong pembangunan industri tenusu tempatan, termasuk usaha meningkatkan kapasiti pengeluaran serta memperkukuh keterjaminan bekalan makanan negara.

Jalinan kerjasama strategik yang berterusan diharap dapat memperkasa industri tenusu Malaysia dan menyumbang kepada kesejahteraan rakyat menerusi sistem bekalan makanan yang lebih kukuh dan mampan. – The Capital Post